Manfaat penjagaan alam sekitar
Loji Rawatan Kumbahan Serantau Lahad Datu baharu
LAHAD DATU: Loji Rawatan Kumbahan Serantau Lahad Datu baharu yang siap dengan kos hampir RM30 juta akan memanfaatkan pertumbuhan infrastruktur di daerah ini.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sejak 1980-an, daerah ini menggunakan kolam oksida yang hanya boleh menampung sisa kumbahan sebanyak 12,500 populasi setara (pe) daripada kawasan sekitar Lahad Datu.
“Namun, selepas lebih 30 tahun sistem itu tidak lagi dapat merawat jumlah kumbahan yang semakin banyak.
“Loji rawatan yang berteknologi terkini menggunakan peralatan mekanikal dan elektrikal untuk mengoptimumkan proses rawatan kumbahan,” katanya.
Loji baharu itu dapat menampung rawatan kumbahan berkapasiti 50,000pe hingga kapasiti maksimum 100,000pe.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Kumbahan Serantau Lahad Datu, dekat sini, Khamis.
Beliau berkata, pembangunan yang pesat sekitar daerah malah di kawasan sepanjang Jalan Lahad Datu - Tawau dengan banyak projek komersil, projek perumahan akan mendapat manfaat daripada pembinaan loji itu.
Katanya, pemaju atau orang perseorangan yang ingin membina rumah atau infrastruktur yang terletak berdekatan rangkaian paip pembetungan boleh terus membuat sambungan kepada paip pembetungan tanpa perlu lagi membina tangki septik.
“Kualiti rawatan loji ini adalah lebih baik dan mencapai Standard A Jabatan Alam Sekitar dan dapat memelihara keindahan sungai-sungai semulajadi untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.
Pada sidang media, Pairin yang dalam lawatan kerjanya ke pantai timur Sabah berkata pelabuhan di Lahad Datu memerlukan pendekatan dasar atau polisi untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah keduadua Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ghulam Haidar dan Datuk Bobbey Suan, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah Datuk Ir Amrullah Kamal.
Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal dan Pegawai Daerah Iman Ali.