Satu sekolah satu ‘wartawan’
Dalam usaha menghebahkan informasi pendidikan melalui perkongsian pintar
BELURAN: Setiap sekolah disaran menyebarluaskan hebahan maklumat pelaksanaan program dan pencapaian prestasi sekolah dalam pendidikan melalui ‘perkongsian pintar’.
Pegawai Teknologi Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Sabah Azmy Haji Ahmad berkata, hebahan maklumat pendidikan amat penting dikongsikan untuk manfaat bersama bukan sahaja di peringkat dalaman sekolah tetapi juga masyarakat umum keseluruhannya.
Justeru, katanya, usaha meningkatkan penyebaran informasi pendidikan perlu diperkasakan dengan melantik atau menugaskan guru di sekolah yang boleh berperanan sebagai wartawan.
“Setiap sekolah perlu ada ‘reporter’ untuk melihat dan membantu menghebahkan aktiviti, prestasi dan pencapaian sekolah,” kataya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Teknopen (Kajian Tindakan dan Penulisan Ilmiah) Peringkat Daerah Beluran, di sini pada Khamis.
Persidanganyangjulungkali diadakan itu dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran melalui Unit PengurusanAkademik(UPA) dan Unit Jaminan Kualiti (UJK), dan dikelolakan oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) Beluran.
Azmy berkata, guru bukan sahaja berperanan untuk mengajar di bilik darjah tetapi juga menyebarkan maklumat pendidikan termasuklah menghasilkan lebih banyak ‘kajian tindakan’ untuk membantu menyelesaikan pelbagai isu dan masalah, sekali gus memperkasakan kualiti pendidikan.
“Melalui ‘kajian tindakan’, ia dapat mengubah persekitaran sekolah menjadi lebih harmoni, kondusif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau menyarankan para guru agar sentiasa melakukan refleksi demi penambahbaikan yang berterusan, bersikap positif dan berfikir di luar kotak demi meningkatkan prestasi pencapaian dan memperkasakan kualiti pendidikan.
Sebanyak 19 kajian tindakan yang dihasilkan oleh guru-guru sekolah rendah dan menengah daerah Beluran telah dibentangkan, termasuklah oleh Pegawai SIC+ PPD Beluran.
Majlis perasmian penangguhan persidangan itu disempurnakan oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah Beluran Amit Utung.