Miri Wave Carnival JCI buka tirai dengan 100 gerai jual pelbagai produk
MIRI: Program ‘Miri Wave Carnival 2017’ anjuran Junior Chamber International (JCI) Lutong membuka tirainya hari ini, 25 Ogos dengan lebih 100 gerai jualan makanan dan produk perniagaan sehingga 3 September depan.
Jurucakap penganjur Benson Kuan berkata, karnival selama sepuluh hari itu akan berlangsung di Coco Cabana, Marina Bay Miri bermula pada jam 5 petang hingga 11 malam.
“Acara menarik untuk malam pembukaan acara esok (hari ini) ialah konsert Wave yang akan diadakan di dewan Coco Cabana dengan menampilkan band tempatan iaitu Rockshool dan Riveria.
“Bayaran RM40 dikenakan untuk konsert berkenaan berlangsung pada jam 7.30 malam hingga 11 malam,” jelasnya semalam.
Menurut Kuan, antara acara lain bakal menarik perhatian pengunjung nanti ialah mini zoo dari Creepy Crawlies Mini Peting Zoo dengan mempamerkan pelbagai jenis haiwan unik seperti Marmoset Monkey, Ferret dan burung Cockatoo.
Bayaran RM6 akan dikenakan untuk berkunjung ke mini zoo terbabit.
“Itu antara aktiviti menarik bagi permulaan karnival tersebut dan kita ada lagi aktiviti lain yang diselitkan sepanjang karnival berlangsung seperti Zumba Konga, talent Wave, Miss Wave Miri, persembahan kebudayaan, Voice Star 5, Wave Run dan lain-lain.
“Bayaran masuk untuk karnival adalah RM3 dan pengangkutan dari lampu isyarat Marina Bay Miri menuju ke pekarangan Coco Cabana turut akan disediakan kepada pengunjung,” ujarnya.
Justeru katanya, pengunjung digalakkan meletakkan kenderaan di Marina Phase 1 berikutan dengan jalan menuju ke Coco Cabana ditutup bagi memberi laluan kepada karnival berkenaan sehingga 3 September kelak.
Selain itu juga, pengunjung turut digalakkan untuk memuat turun aplikasi MILpay bagi tujuan memudahkan pengunjung untuk membuat bayaran pembelian sepanjang karnival Wave.
“Dua booth disediakan untuk pengunjung ingin menggunakan aplikasi tersebut dan tawaran menarik turut akan diberikan kepada mereka yang menggunakan aplikasi MILpay.
“Aplikasi tersebut memudahkan lagi pembayaran pengguna tanpa perlu membawa wang tunai untuk membeli kelak,” jelas Kuan.
Majlis perasmian akan berlangsung pada Sabtu (26 Ogos) yang dijangka dirasmikan oleh Datuk bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii.
Orang awam yang ingin mengetahui lanjut turut boleh melayari lama sesawang sosial Facebook Miri Wave Carnival 2017.