Rebut peluang hasil hubungan baik Kerajaan Negeri dan Pusat
TAWAU: Hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Pusat perlu dimanfaatkan gerakan koperasi di seluruh Sabah untuk merebut peluang perniagaan yang terbuka luas.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata Kerajaan Negeri juga sentiasa komited membantu Kerajaan Persekutuan dalam menyokong pembangunan koperasi.
“Komitmen ini dibuktikan Kerajaan Negeri menerusi pembinaan Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (Pulakop) di Kinarut, Papar pada 2003 di tanah berkeluasan 15 ekar.
“Semenjak 2003, Pulakop sudah berjaya melatih lebih 13,000 anggota koperasi dan pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam pelbagai bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sabah 2017 di Padang Bandaran Tawau, di sini pada Ahad.
Musa optimis gerakan koperasi juga boleh menjadi instrumen penting membentuk masyarakat yang lebih proaktif dan berdaya saing dalam kehidupan harian.
“Usaha ke arah memperkasakan gerakan koperasiamatperluuntukterus menyokong pertumbuhan sosioekonomi dan memastikan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama.
“Kitayakingerakankoperasi bolehmemberikansumbangan yang lebih besar kepada pembangunan sosioekonomi rakyat khususnya di Negeri Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, gerakan koperasi perlu menjalin kerjasama dalam perkongsian teknologi, kepakaran dan sumber-sumber yang ada untuk memastikannya terus berdaya saing.
Menurutnya, persepsi segelintir masyarakat yang beranggapan koperasi hanyalah sebagai satu aktiviti pembiayaan peribadi dan kredit juga perlu diubah dengan maklumat sebenar.
“Masyarakat perlu sedar, peranan koperasi amat penting dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat melalui penawaran peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Lebih-lebih lagi kerana orientasinya sebagai satu bentuk perniagaan yang memberikan faedah dan nilai kepada para anggotanya,” katanya.
Katanya, koperasi digesa supaya berani menceburkan diri dalam industri hiliran dan memiliki ahli berkaliber dalam mewujudkan aktiviti ekonomi berimpak tinggi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan koperasi sentiasa menjaga amalan tadbir urus yang cekap, profesional dan berintegriti untuk memastikannya terus kekal relevan.
“Inilah harapan kita bersama dan saya akan memantau serta melihat perkembangan gerakan koperasi di negeri ini sama ada boleh atau tidak memiliki kejayaan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) Dato’ Sri Jamil Salleh berkata sebanyak 13,428 koperasi mendaftar di seluruh negara sehingga 31 Disember 2016.
Jumlah itu meliputi keanggotaan seramai 7.7 juta orang dengan modal dan syer bernilai RM13.99 bilion, dan mencatatkan jumlah perolehan sebanyak RM39.66 bilion.
Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sabah 2017 pada kali ini dianggarkan menerima kehadiran kirakira 10,000 pengunjung dan melibatkan penyertaan 25 booth koperasi, 10 booth agensi dan jabatan kerajaan serta 15 reruai syarikat dan usahawan.
Pada 2016, seramai 148,000 orang menghadiri Hari Koperasi Negara dengan jumlah jualan RM2.84 juta melibatkan 1,500 pameran dan jualan, termasuk 5,000 pengunjung di Sabah.