Skuad M’sia julang emas pertama hoki dalam dewan
Malaysia mengalahkan Indonesia 5-1 untuk meraih pingat emas acara Hoki Dalam Dewan Lelaki yang julung kali dipertandingkan pada Sukan SEA Ke-29.
Pingat gangsa menjadi milik Singapura.
Dalam perlawanan akhir di Pusat Perdagangan dan Pameran Malaysia di sini semalam, skuad negara melakukan jaringan seawal minit keempat menerusi gol padang oleh Mohd Shafiq Yaacob sebelum menambah dua lagi mata menerusi Shazril Irwan Nazli dan ketua pasukan Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke-19 dan ke-23.
Malaysia kemudian menjaringkan satu lagi gol padang pada minit ke-25 menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan manakala Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad menambah gol kelima pada minit ke-39.
Gol tunggal Indonesia dijaringkan Alvin Nourul Saepul Mimbar pada minit ke-38 hasil hantaran pukulan sudut penalti.
Ketika ditemui pemberita, jurulatih Amin Rahim berkata beliau amat bersyukur atas kejayaan meraih emas kerana skuad bimbingannya hanya sempat berlatih kira-kira lima bulan sahaja sebelum beraksi dalam KL2017.
“Syukur Alhamdulillah kerana dari awal lagi saya sudah nyatakan saya yakin dengan pasukan saya. Walaupun mereka datang daripada hoki padang, mereka ada kelebihan dari segi kemahiran dan fizikal.
“Dengan latihan singkat yang kita telah buat, kita mampu menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara,” katanya.
Muhammad Najib yang jelas gembira dengan kejayaan itu memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan pasukannya.
“Susah senang kami bersama dan kami ingin hadiahkan pingat emas ini untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, skuad wanita memenangi pingat gangsa. — Bernama