Perkep IPD Sandakan anjur pelbagai aktiviti keagamaan, riadah sepanjang Ogos
SANDAKAN: Sepanjang bulan Ogos, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan dan riadah bagi mengeratkan silaturahim di samping menambahkan pengetahuan dalam kalangan ahlinya.
Antara program yang diadakan adalah ceramah bertajuk ‘Ujian dan Pengorbanan Dalam Hidup’ yang dianjurkan oleh Biro Agama Perkep Sandakan pada 11 Ogos bermula jam 1.30 hingga 4.30 petang di Surau Pangsapuri PDRM, Sandakan yang dihadiri oleh seramai lebih kurang 46 ahli Perkep IPD Sandakan.
Antara yang memberikan ceramah pada program itu ialah Ustazah Aida Riyana Abdul Rani dari Jabatan Kemas Daerah Sandakan, Pengerusi Perkep IPD Sandakan Wan Hurani Osman, Pengerusi Perkep Batalion 20 PGA Sandakan Hajah Hasliza Hj Hassan dan Suzita iaitu Naib Pengerusi Perkep Pasukan Polis Marin Sandakan.
Selain daripada Perkep IPD Sandakan, majlis itu turut melibatkan ahli Perkep dari Batalion 15 dan Batalion 20 PGA Sandakan serta Pasukan Polis Marin Sandakan yang mana ia dapat menambahkan ilmu pengetahuan setiap peserta dan erti pergobanan setiap insan.
Program kedua pula adalah Majlis Another Fabulous Ladies Night sempena Hari Perkep ke-49 yang telah diadakan pada Jumaat di Pavilion Hotel Sandakan.
Majlis diserikan dengan kehadiran Wan Hurani dan Naib Pengerusi Perkep IPD Sandakan Fauziah Nor Mohd Ali.
Majlis yang dihadiri oleh seramai lebih kurang 128 ahli Perkep dari IPD Sandakan, Batalion 15, Batalion 20, Marin Sandakan, IPD Kinabatangan, IPD Lahad Datu dan Bakat Laut TLDM itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lerkep IPD Lahad Datu iaitu Sulastri Fithinana Swanto, Pengerusi Bakat Laut Suhaiya Ibrahim dan Pengerusi Perkep Batalion 20 PGA Sandakan Hajah Hasliza Hj Hassan.
Aktiviti terakhir yang telah berlangsung di Dewan Pangsapuri PDRM pada 26 dan 27 Ogos pula adalah Pertandingan Bola Tampar Piala Pengerusi Perkep Sandakan sempena Hari Perkep ke-49.
Pertandingan itu melibatkan 11 pasukan dari Amanita, Perkep dan Bakat Laut dari IPD Sandakan, IPD Lahad Datu, IPD Kinabatangan, IPD Beluran, Marin Sandakan, Batalion 15 dan Batalion 20 PGA, Bakat Laut TLDM serta Bakat Darat ATM.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Wan Hurani dan Fauziah Nor. Pada pertandingan yang melibatkan penyertaan seramai hampir 160 itu, Perkep PGA Batalion 15 menjadi juara serta diikuti Amanita Sandakan dan Perkep Marin.