Kembalikan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak kepada 35%
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup (gambar) mengalualukan keputusan Dewan Undangan Negeri Sabah untuk menambahkan 13 bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri baharu membawa jumlah kerusi DUN kepada 73.
“Iniadalahuntukmemberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Sabah, terutama masyarakat luar bandar.
“Penambahan kerusi DUN adalah amat perlu mengambil kira keluasan negeri dan peningkatan populasi. Tambahan lagi, penambahan wakil diperlukan untuk membantu dalam pengurusan pembangunan pesat yang kini dialami oleh negeri Sabah yang juga memerlukan wakil lebih efisien untuk menangani isu-isu tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, Arthur mengatakan ada juga keperluan mengembalikan peratusan kerusi Sabah dan Sarawak di Parlimen kepada 35 selaras dengan kadar peratusan yang dipersetujui apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963.
Katanya, selama beberapa dekad kerusi di Semenanjung ditambah dengan tidak seimbang dengan kerusi di Sabah dan Sarawak. Ini mengakibatkan peratusan kerusi Sabah dan Sarawak di Parlimen dikurangkan kepada 25 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar 35 peratus yang asal semasa pembentukan Malaysia.
“Kedudukan 35 peratus perwakilan di Parlimen untuk Sabah dan Sarawak mempunyai asasnya dalam Perkara 17 dalam Perjanjian 20 Perkara yang menyatakan bahawa perwakilan Sabah di Parlimen harus mengambil kira populasi, saiz dan potensi.
“Apabila mengambil kira keluasan negeri, bilangan penduduk dan potensi Sabah dan Sarawak dari segi pertumbuhan ekonomi, sumbangan cukai dan sumber asli, kita tidak cukup diwakili dengan hanya 25 peratus perwakilan di Parlimen.
“Pengembalian 35 peratus kerusi di Parlimen untuk Sabah dan Sarawak juga diperlukan mengikut Perkara 66 Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menyatakan bahawa sebarang perubahan kadar peratusan kerusi di Parlimen tidak boleh kurang daripada perkadaran kerusi yang diperuntukkan apabila Parlimen bersidang pada Ogos 1970,” katanya.
Arthur berkata, ia dengan jelas menunjukkan bahawa memang tujuan asalnya adalah supaya kadar kerusi Parlimen di Malaysia dikekalkan sekurangkurangnya sebanyak 35 peratus untuk Sabah dan Sarawak. Ia juga bermakna kadar peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak boleh melebihi 35 peratus tetapi tidak boleh kurang daripada itu.
Menurut beliau, keperluan itu dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan supaya negeri-negeri Tanah Melayu pada waktu itu tidak boleh memindan Perlembagaan Persekutuan dan meluluskan undang-undang tanpa persetujuan daripada Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen maka sokongan daripada ahli wakil rakyat pembangkang sekarang diperlukan untuk mengembalikan peratusan kadar kerusi Sabah dan Sarawak di Parlimen kepada 35 peratus.