Lelaki lemas kereta terjunam di laut
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam laut di Jalan Tanjung Lipat awal pagi Khamis.
Mangsa Han Chong Chen (gambar), 35, warga tempatan berasal dari Taman Bukit Sepanggar disahkan meninggal dunia dalam kejadian jam 6.18 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian terbabit mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Likas menaiki kereta jenis Toyota Camry.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam laut.
“Punca kejadian dipercayai disebabkan kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.19 pagi.
“Bertindak dengan maklumat yang diterima, kita menggegaskan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam keretanya sebelum menaikkan mangsa ke kawasan darat.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS