Utusan Borneo (Sabah)

Lans koperal ditemukan maut dengan kesan tembakan, tetakan senjata tajam

Dengan kesan tembakan, tetakan senjata tajam

-

“Apabila beliau (anggota MPV) ke bahagian pertanyaan balai polis, beliau ternampak anggota bertugas (mangsa) dalam keadaan tertiarap dan selepas lampu dinyalakan kelihatan kepala mangsa berdarah. DATUK MAZLAN MANSOR Ketua Polis Selangor

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Pinggiran Subang Jaya ditemukan maut dipercayai akibat kecederaan satu das tembakan jarak dekat dan tetakan senjata tajam awal pagi Khamis.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata mangsa Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, yang berasal dari Sarawak itu ditemukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang balik ke balai selepas membuat rondaan, dalam keadaan tertiarap dengan lampu ditutup kira-kira 3.25 pagi Khamis.

“Apabila beliau (anggota MPV) ke bahagian pertanyaan balai polis, beliau ternampak anggota bertugas (mangsa) dalam keadaan tertiarap dan selepas lampu dinyalakan kelihatan kepala mangsa berdarah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Mazlan berkata mangsa yang telah berkhidmat tujuh tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak.

Siasatan awal mendapati kira-kira 2.40 pagi, saksi awam yang berada di kawasan berdekatan terdengar bunyi letupan namun menyangka ia adalah bunyi mercun sambutan malam kemerdekaa­n.

Beliau berkata siasatan mendapati pistol mangsa hilang dipercayai dilarikan pelaku jenayah.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar balai ini dan kami sedang mencari pemilik premis berdekatan sekiranya mereka ada memasang CCTV untuk melihat rakaman bagi membantu siasatan,” katanya yang yakin kes itu tidak akan mematahkan semangat anggota polis untuk terus melaksanak­an tanggungja­wab masing-masing.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia