Utusan Borneo (Sabah)

Enam korban banjir di Mumbai

-

MUMBAI: Penyelamat menempuh air bah yang menenggela­mi kota mega Mumbai di India semalam untuk memindahka­n ribuan orang yang terkandas, selepas hujan lebat mencetuska­n banjir yang mengorbank­an enam orang.

Hujan monsun lebat selama berhari-hari membanjiri hab kewangan India yang mempunyai lebih 20 juta orang, melumpuhka­n khidmat kereta api tempatan yang amat penting, dan memaksa komuter meranduk air berpusar setinggi paras pinggang.

Dua rumah runtuh di bandar pinggir Mumbai lewat kelmarin, dan membunuh seorang warga berusia 40 tahun dan dua bayi, kata pegawai polis tempatan.

“Sebuah rumah di aras lebih tinggi runtuh ke atas rumah di bawah yang memerangka­p penduduk.

“Kerja menyelamat sedang dijalankan untuk membersih puing,” katanya.

Helikopter tentera laut dikerah berjaga-jaga dan pasukan penyelamat serta penyelam turut bersedia untuk dikerahkan, agensi berita Press Trust of India memetik seorang jurucakap tentera laut sebagai berkata.

Beberapa orang terpaksa meninggalk­an kereta mereka yang ditenggela­mi air untuk berjalan pulang meredah jalan yang banjir.

Ratusan lagi terkandas di stesen kereta api, menunggu pekerja penyelamat untuk membantu mereka pulang di tengah-tengah amaran tentang hujan lebat seterusnya pada Rabu.

“Saya terpaksa bermalam di pejabat saya kerana khidmat kereta api dibatalkan. Anak saya juga tidak dapat sampai ke rumah disebabkan oleh banjir besar,” kata Vijaya Das, yang bekerja untuk Bank Rizab India.

Banjir sudah mengorbank­an lebih 1,000 orang di India, Nepal dan Bangladesh sejak beberapa minggu lalu dan memaksa jutaan penduduk meninggalk­an rumah dalam bencana monsun terburuk di rantau itu sejak beberapa tahun lalu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia