Utusan Borneo (Sabah)

Ibu maut, anak cedera

- - Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Seorang pembonceng motosikal wanita maut dalam kemalangan jalan raya di Batu 25 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 2.45 petang, Khamis.

Kemalangan itu melibatkan motosikal jenis skuter yang dinaiki dua anak-beranak dengan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki.

Difahamkan, anak-beranak berkenaan baharu sahaja balik dari membeli lauk di Taman Sawit Balung sebagai persediaan menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha, sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata pembonceng, Bulan Tangah, 60, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Anak pembonceng, Rosnani Nasir, 18, yang menunggang motosikal pula cedera di kepala, lutut dan siku kiri kanan,” katanya, di sini, Jumaat.

Fadil berkata kedua-dua anak beranak itu tinggal di Kg Nasib Kita, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda, 29, pula di Batu 2 Jalan Apas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa pacuan empat roda dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Semporna.

“Apabila kenderaan itu berada di lorong kanan, sebuah motosikal dari lorong kiri mengubah haluannya ke lorong kanan secara tiba-tiba.

“Keadaan itu menyebabka­n pemandu kenderaan pacuan empat roda menekan brek dan melencongk­an kenderaann­ya ke arah kiri untuk mengelak.

“Namun, kenderaann­ya terlanggar motosikal berkenaan dari belakang berikutan jarak yang terlalu dekat, menyebabka­n motosikal itu terseret ke tengah jalan,” katanya.

Beliau berkata, pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan menuju ke Klinik Balung.

Ketika ini, siasatan kes berkenaan masih diteruskan dan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia