Utusan Borneo (Sabah)

Fleksibili­ti GS Gill tambat hati pembeli sejak berdekad

Ikon peralatan sukan, pembawa jenama Adidas ke Malaya

-

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, jalan yang terkenal di Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu sudah pasti akan terpandang Wisma Harwant yang menempatka­n kedai barangan sukan paling popular di ibu negara, iaitu G.S. Gill.

Walaupun mereka terpegun dengan kedai dan pusat belibelah baharu yang berkilauan di kiri kanan Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan TAR, mereka tidak dapat mengelak daripada melihat Wisma Harwant yang terletak hampir di hujung jalan berkenaan.

Diasaskan Tan Sri G.S. Gill, yang meninggal pada usia 92 tahun pada 27 Ogos 2016, kedai barangan sukan G.S. Gill bermula daripada sebuah kedai kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman (ketika itu Batu Road) pada 1946 sebelum berkembang ke Wisma Harwant, sempena nama isteri beliau.

G.S. Gill akan terus diingati sebagai ikon peralatan sukan dan orang yang membawa jenama pakaian sukan Jerman, Adidas ke Malaya pada waktu itu.

Peruncit peralatan dan aksesori sukan G.S. Gill Sdn Bhd, yang diasaskan mendiang G.S. Gill, kini dikendalik­an cucu lelakinya, Mahaveer Singh bersama dua anak perempuan Gill.

Mahaveer, yang berazam untuk meneruskan legasi datuknya berkata, perkara paling penting dalam mengekalka­n jenama, ketika yang lainnya telah berpindah atau menutup perniagaan, ialah fleksibili­ti yang disemai datuknya ke dalam diri mereka dalam menjalanka­n perniagaan.

“Tidak ada perubahan drastik tetapi peralihan. Tiada rombakan dan menjadi lebih fleksibel dari segi harga produk kami, menyusun arah kerana kami mahu memenuhi permintaan semua orang. Tetapi pada masa sama kami memberi tumpuan kepada jenama dalaman kami, Eider,” katanya.

Anak perempuan Gill, Premjeet Gill, yang sering membantu Gill di kedai itu berkata, bapanya mempunyai cara tersendiri menjalanka­n perniagaan tersebut dan beliau mengambil masa yang lama untuk memujuk bapanya melaksana idea baharu.

“Untuk Mahaveer, saya beritahu beliau, anda jalankan perniagaan itu. Cuma maklumkan kepada saya apa yang anda mahu lakukan. Saya bersedia menerima idea baharu dan beliau (Mahaveer) berminat untuk menjalanka­n perniagaan dalam talian, iaitu sesuatu yang baik dan perlu kami lakukan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Premjeet, yang berada dalam situasi yang sama dengan Mahaveer sebelum ini berkata, “Bapa saya memperkena­l banyak perkara yang belum pernah dilihat dalam industri sukan sebelum ini. Kami adalah antara yang pertama yang meletakkan tag keselamata­n ke atas produk dan pakaian kami.”

Kedai itu yang berkembang maju sejak berapa dekad, terpaksa ditutup semasa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tetapi apabila ia dibuka semula, perniagaan itu terus berkembang.

Mahaveer berkata, setiap anggota keluarga itu mempunyai pandangan yang sama dalam mengekalka­n perniagaan dan meneruskan legasi datuknya kerana mereka sedar mengenai kesukaran yang telah dilalui beliau.

Menurutnya, produk G.S. Gill kini ditawarkan melalui platform dalam talian seperti Lazada, 11 street dan Facebook manakala jenama dalamannya, ‘Eider’ terdiri daripada jersi, seluar pendek dan sarung kaki.

Mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi syarikat itu, Mahaveer berkata, pasaran tempatan sudah padat dengan kedai rantaian peralatan sukan, tetapi syarikat itu akan terus memberi tumpuan ke atas akademi, sekolah dan syarikat, di samping mengembang­kan barisan produk di bawah jenama dalamannya.

“Kami tidak bergantung kepada kedai itu semata-mata. Kami mempunyai pelanggan korporat, sekolah antarabang­sa, termasuk Fairview, akademi bola sepak (Negeri Sembilan) dan sekali sekala skuad polis.

“Dan kadang-kadang kami mendapat pelanggan baharu, tetapi mereka adalah pelanggan setia kami,” katanya dengan menambah 50 peratus pendapatan GS Gill diperoleh daripada pelanggan baharu manakala 50 peratus lagi daripada pelanggan sedia ada.

Daripada jumlah itu, segmen pelanggan korporat berada antara 20 hingga 30 peratus manakala selebihnya disumbang oleh segmen runcit.

Mengenai kesedaran jenama dalam kalangan generasi baharu, Mahaveer berkata, cabaran itu perlu ditangani dan sehubungan itu GS Gill sedang menimbang untuk membuka outlet kedua.

“Bagaimanap­un kami perlu melihat keadaan, harap-harap pada tahun depan,” tambah beliau.

Bagi meraikan semangat Sukan SEA 2017, Mahaveer berkata, GS Gill menaja pakaian untuk pasukan skuasy junior dan senior, yang akan memakai “jersi kami jika ia tidak bertentang­an dengan penaja utama”. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia