GST kecilkan peluang elak cukai: Perunding
‘Cara’ elak cukai daripada sesetengah bayaran tunai, belian tanpa invois sukar dilaksana
“Sejak GST dilaksanakan, ‘cara’ pengelakan cukai itu semakin sukar dilaksanakan, kerana jualan secara tunai tidak akan tersasar dan pembelian melalui invois perlu mempunyai invois cukai. DATIN YAP SHIN SIANG Rakan Kongsi Urusan/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YYC Holdings Sdn Bhd
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah mengecilkan peluang pengelakkan cukai, sekali gus mengurangkan jumlah pihak yang ingkar daripada menunaikannya, kata perunding cukai.
Rakan Kongsi Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YYC Holdings Sdn Bhd, Datin Yap Shin Siang berkata sebelum era GST, terdapat ‘cara’ yang ‘menarik’ dilakukan banyak pihak untuk mengelak pembayaran cukai.
“Ada pihak yang mengelak daripada sesetengah bayaran tunai, memandangkan ia tidak benar-benar direkodkan, lazimnya oleh pemilik restoran dan gerai. Selain itu, ada juga pembelian yang tidak mempunyai invois, yang mana perbelanjaan itu boleh dinaikkan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, sejak GST dilaksanakan, ‘cara’ pengelakan cukai itu semakin sukar dilaksanakan, kerana jualan secara tunai tidak akan tersasar dan pembelian melalui invois perlu mempunyai invois cukai.
Katanya, dalam melaksanakan pencukaian, keadaan itu sangat berkaitan dan sukar dielakkan.
“Selepas pelaksanaan GST, bukan hanya kerajaan boleh mengumpul hasil, malah ia menjadikan ekonomi lebih telus untuk perniagaan, memandangkan GST memudahkan aliran masuk dan keluar monetari dikesan,” katanya.
Yap berkata, usaha kerajaan mewujudkan ‘Collection, Intelligence, and Arrangement (CIA)’, kerjasama antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah banyak mengurangkan kes pengelakan cukai.
“Berdasarkan maklumat yang dikongsi menerusi CIA, adalah sukar untuk pihak-pihak mengelak daripada membayar cukai,” katanya.
Beliau berkata, pasukan petugas cukai lain, Bahagian Perancangan Cukai Agresif di bawah Jabatan Tugas-tugas Khas LHDN, menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat, berkongsi maklumat, menyemak penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan cukai.
“Mereka yang terlibat dalam rasuah akan berdepan tindakan mengikut Akta Cukai Pendapatan,” katanya.
Yap berkata, pasukan petugas yang dilancarkan itu bertujuan menyiasat industri berisiko tinggi seperti barang kemas, broker pajak gadai, pemberi pinjaman berlesen, perniagaan perubatan dalam talian dan perniagaan dengan permit diluluskan.
“LHDN berdiri teguh dengan keputusannya untuk mengenakan 100 peratus penalti ke atas pengelak cukai, dengan mengatakan bahawa ia adalah satu cara untuk menangani pihak mengingkari undang-undang cukai tegar,” katanya.
YYC Holdings merupakan syarikat penasihat cukai. — Bernama