Enggan serah darah pesakit kepada polis, jururawat ditahan
LOS ANGELES: Polis negeri Utah, Amerika Syarikat, melancarkan siasatan setelah rakaman video menunjukkan seorang anggota polis menangkap seorang jururawat kerana enggan mengeluarkan darah dari seorang pesakit yang tidak sedar.
Imej yang dirakam oleh kamera badan polis dan Hospital Universiti di Salt Lake City menunjukkan Alex Wubbels menjerit meminta tolong ketika dia diheret keluar dari pusat perubatan itu dan digari.
Jururawat itu ditahan selama kira-kira 20 minit dalam kereta polis sebelum dilepaskan setelah kakitangan pentadbiran campur tangan, menurut Suzanne Winchester, jurucakap bagi hospital terbabit.
Winchester memberitahu AFP, sampel dadah dari pesakit boleh diserahkan kepada polis hanya jika pesakit memberikankebenaran,dalam tahanan atau ada waran.
Semua syarat ini tidak dipenuhi, kata Winchester, yang menambah Wubbels mengikuti protokol dengan betul.
“Ini sangat luar biasa. Semua orang sangat terkejut – ia meresahkan bagi kakitangan kami,” tambahnya.
Insiden itu berlaku pada 26 Julai lalu tetapi video berkenaan hanya didedahkan Khamis lepas di satu sidang akhbar yang diadakan oleh Wubbels.
“Berhenti, berhenti – saya tidak melakukan kesalahan. Ini gila, tolong tuan, anda menyakiti saya,” dia kelihatan merayu ketika diheret ke kereta polis.
Wubbels memberitahu wartawan, dia rasa dikhianati dan marah dengan layanan yang diberikan kepadanya sedangkan dia hanya mahu memastikan pesakitnya selamat.
Dalam satu kenyataan seterusnya, dia berkata datuk bandar dan ketua polis sudah memohon maaf secara peribadi atas layanan tersebut.
“Saya sudah menerima permohonan maaf ini,” katanya.
“Luahan sokongan melebihi apa yang saya dapat bayangkan,” katanya. “Sejak insiden itu, bandar raya ini sudah memandang serius perkara ini, dan saya percaya perubahan positif akan berlaku.”
Ketua polis Salt Lake City Mike Brown berkata dia terkejut dengan rakaman berkenaan dan siasatan hal ehwal dalaman sudah dilancarkan.
“Setakat ini, kita sudah menggantung anggota terbabit dari program keluarkan darah. Kami sudah pun menggantikan dasar keluarkan darah kami dengan dasar baharu,” tambahnya.
“Semua anggota yang masih ada dalam program keluarkan darah sudah diteliti semula, dan beroperasi di bawah dasar dan protokol baharu.”
Bagaimanapun peguam daerah Sim Gill mengeluarkan kenyataan dalam Facebook untuk menuntut siasatan jenayah sepenuhnya.
“Ketidakadilan terhadap seorang adalah ketidakadilan terhadap semua. Semua orang berhak mendapatkan proses yang adil dan akauntabiliti institusi adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya. – AFP