BNM anjur pameran seni sempena Hari Kebangsaan 2017
Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini melancarkan satu pameran karya lukisan 28 artis mewakili pelbagai generasi bertajuk ‘The Unreal Deal: Six Decades of Malaysian Abstract Art’ bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim berkata hasil seni yang diketengahkan pada pameran berkenaan merupakan ekspresi daripada perkembangan yang berlaku di negara ini.
“Malaysia telah menempuh perubahan ketara dalam tempoh enam dekad penubuhannya sebagai sebuah negara.
“Daripada sebuah ekonomi yang bergantung kepada hasil komoditi seperti timah dan getah, kita berjaya melalui transformasi (kepada sebuah negara) yang lebih pelbagai, berdaya saing dan berdaya tahan,” katanya pada majlis perasmian acara itu di sini, baru-baru ini.
Muhammad berkata, perubahan ekonomi itu juga dapat disaksikan dalam segenap aspek kehidupan rakyat dan hasil lukisan misalnya dapat membantu orang ramai memahami masa silam selain berperanan sebagai instrumen bagi menggarap masa depan.
Malah, beliau turut menyifatkan hasil seni lukis sebagai medium berpengaruh kerana dapat menjadi pemacu harapan, perubahan sosial yang positif serta perpaduan.
Ini, katanya, jelas boleh dilihat menerusi bendera Malaysia, Jalur Gemilang yang mencerminkan teras dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka.
“Warna biru dalam Jalur Gemilang itu mewakili imaginasi kita untuk masa depan, sebuah negara yang bersatu padu dan meraikan kepelbagaian,” katanya. — Bernama