Asap misteri keluar dari cerobong konsulat Rusia di San Francisco
SAN FRANCISCO: Asap hitam penuh misteri kelihatan keluar dari cerobong konsulat Rusia di San Francisco pada Jumaat, manakala anggota bomba mengesahkan penghuninya sedang membakar objek yang tidak dinyatakan sehari sebelum penutupan misi itu.
Washington mengarahkan penutupan kemudahan itu dan dua lagi Khamis lepas dalam langkah balas setelah Kremlin menuntut agar Amerika Syarikat (AS) mengurangkan jumlah kakitangan di misi diplomatiknya di Rusia.
Anggota bomba dipanggil ke lokasi sebagai reaksi kepada panggilan telefon yang cemas – atau ingin tahu – daripada orang awam, tetapi kemudian menjelaskan tiada sebab untuk berasa bimbang.
“Kedutaan Rusia ada penggera api. Bukan kebakaran. Semuanya okay dan kami bersurai,” tweet Jabatan Bomba San Francisco dari akaun rasminya.
Jurucakap Mindy Talmadge memberitahu AFP, pekerja konsulat ‘mesti’ sedang membakar benda yang tidak diketahui.
Anggota bomba ‘mengesahkan asap keluar dari cerobong tetapi tiada bahaya kepada struktur’, tambahnya, tanpa menyatakan sama ada mereka memasuki bangunan tersebut ataupun tidak.
Tindakan itu mencetuskan spekulasi hangat dalam Twitter tentang jenis bahan yang dibakar.
“Jadi mereka ada begitu banyak benda untuk dibakar di sana sehinggakan mereka membunyikan penggera dengan asap itu? Hahaha,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi berkata: “Lebih mudah untuk membakar daripada disiat.”
Seorang lagi merujuk kepada siasatan rasmi yang sedang dijalankan mengenai sama ada Presiden Donald Trump bersubahat dengan Rusia atau tidak untuk memastikan dirinya dipilih: “Mesti membakar timbunan besar surat cinta Trump kepada Vladimir!”
Hubungan AS-Rusia sudah jatuh ke tahap terendah sejak Perang Dingin selepas Kremlin merampas Crimea dari Ukraine pada 2014.
Dunia Barat mengenakan sekatan untuk menghukum Rusia atas campur tangannya di negara jirannya yang merupakan bekas negeri Soviet, yang mencetuskan embargo balas daripada Moscow ke atas produk pertanian. – AFP