Rh Maing pilu sambut jenazah mendiang Lans Koperal Valentino Mesa
SARIKEI: Ketibaan jenazah mendiang Lans Koperal Valentino Mesa, 29, di rumah panjangnya, Rumah Maing, Lubuk Besai Entaih Entabai, Julau, pada jam 2.30 pagi Jumaat disambut dengan penuh perasaan hiba dan sedih oleh ahli keluarga dan sanaksaudaranya.
Tangisan kesedihan meratapi pemergian mendiang Valentino membuktikan bahawa keluarga dan sanak-saudaranya seolah-olah tidak percaya dengan musibah yang telah berlaku ke atasnya.
Dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, Valentino ditemui mati dalam keadaan tertirap berdekatan Kaunter Pertanyaan di Balai Polis Pinggiran USJ Subang Jaya pada jam 3.30 pagi.
Mangsa ditemui oleh rakan setugas dari Unit Peronda (MPV) yang pulang ke balai terbabit setelah selesai melakukan rondaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa, pihak polis mendapati ada beberapa kesan tetakan di bahagian kepala dan satu kesan tembakan di bahagian belakang badan mangsa.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau DSP Bidol Noyeng yang dihubungi media pada Jumaat berkata, rombongan yang membawa jenazah selamat tiba di Rumah Maing setelah mengharungi perjalanan selama tiga jam setengah.
“Seramai 30 pegawai dan anggota polis terlibat dalam mengiringi jenazah Lans Koperal Valentino Mesa ke rumah panjang di Rumah Maing, Lubuk Besai Entaih Entabai, Julau.
“Berdasarkan perbincangan dengan ahli keluarga mereka, mendiang akan dikebumikan pada 3 September (Ahad) ini, jam 10 pagi,” katanya.
Menurut Bidol, sekitar 200 penduduk dan sanak-saudara mangsa turut berada di rumah panjang terbabit ketika ketibaan jenazah.
Sementara itu, KPD Sarikei Superintenden Mat Jusoh Mohamad yang dihubungi berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei turut terlibat dalam proses penghantaran mendiang dengan menyediakan kereta pengiring.
“Kebanyakan urusan berkaitan dibuat oleh IPD Julau, dan pihak IPD Sarikei sekadar membantu,” katanya.
Mangsa mula berkhidmat sejak tahun 2009 dan sudah berkahwin namun belum mempunyai anak.