BEFF 2017: 18 filem tempatan & antarabangsa ditayangkan secara percuma
Akan ditayangkan secara percuma sempena BEFF 2017
MENDIDIK masyarakat tentang alam sekitar melalui tayangan filem bukan sesuatu yang mudah namun, itulah usaha berterusan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penganjur Festival Filem Eko Borneo (BEFF) sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah Program BEFF Melissa Leong berkata sesuai dengan objektif BEFF untuk mendidik masyarakat tentang isu alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka.
Atas sebab itu, julungjulung kalinya sempena festival pada tahun ini, Jawatankuasa Penganjur BEFF melaksanakan Program Kemampanan Pemimpin Muda (YL4S) bagi belia berusia 18 hingga 30 tahun untuk menyertai bengkel yang diadakan pada setiap bulan untuk membincangkan isu-isu alam sekitar dan sosial.
Peserta akan berkongsi pengalaman dengan pemimpin yang mempunyai pengetahuan tentang isu alam sekitar dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin Orang Asal, saintis, pakar hidupan liar serta usahawan sosial.
Langkah sebegini dilihat mampu melahirkan generasi pemimpin yang mampu menyelesaikan permasalahan dengan mampan.
Menurutnya, BEFF juga satu-satunya festival filem yang menyediakan platform untuk Orang Asal dan masyarakat tempatan menghasilkan filem tentang masyarakat mereka melalui Program Pembikinan Filem Suara Komuniti.
Menerusi Program Suara Komuniti itu, Orang Asal dan masyarakat tempatan akan mengikuti bengkel intensif yang dikendalikan penggiat industri kreatif yang profesional dari Malaysia dan Indonesia.
“Penduduk kampung yang menyertai program ini juga belajar tentang bagaimana tayangan video memainkan peranan besar untuk menceritakan kepada masyarakat luar tentang kaum mereka dan persekitaran kehidupan mereka yang berkait langsung dengan alam sekitar.
“Sebanyak tujuh hingga 10 filem pendek yang dihasilkan oleh Orang Asal dan penduduk kampung di negeri ini akan ditayangkan pada hari terakhir festival (24 September),” katanya pada sidang media Festival Filem Eko Borneo (BEFF) 2017, di sini pada Rabu.
Sejak Suara Komuniti dilaksanakan, BEFF sudah menjelajahi dan melibatkan penyertaan masyarakat dari 40 kampung di seluruh Sabah.
Mengenai filem yang akan ditayangkan sepanjang tiga hari BEFF berlangsung (22-24 September), Melissa berkata sebanyak 18 filem tempatan dan antarabangsa. Manakala, tujuh filem lagi akan menjadi tayangan sampingan untuk ditayangkan di beberapa lokasi di seluruh Sabah sepanjang tahun ini.
Beliau berkata festival kali ini memaparkan lebih banyak filem berbanding tahun lalu kerana festival pada tahun lalu hanya berlangsung selama dua hari sahaja.
Filem yang menjadi fokus pada tahun ini adalah Mount Kinabalu-North Borneo 1961 (Malaysia, United Kingdom) yang ditayangkan julung-julung kali di dunia, Fractured Land (Kanada) yang ditayangkan di Asia buat pertama kali, Bugs on the Menu (Kanada), RiverBlue (Kanada) dan Kedi (Turki).
Antara filem lain yang turut ditayangkan adalah Operation Sumatran Rhino (Malaysia); Jago: A Life Underwater (United Kingdom/Indonesia); Change (Singapura); Sticks and Stones (Kanada); 1Minute Nature (Belanda); 56 (Sepanyol, Norway, Madagascar); The Master Weaver (Sarawak, Malaysia); La Laguna (Mexico, Amerika Syarikat); dan Lovely Bones (Myanmar).
Penggiat seni animasi pula boleh berkongsi cerita mereka menerusi Program ‘Boleh Bah Filem Kita’. Karya filem animasi yang menang akan menerima hadiah RM2,000.
Selain tayangan filem, festival ini juga akan menganjurkan ceramah pendidikan, perbincangan bersama ahli panel jemputan, bengkel dan karnival seni eko, bengkel pembuatan wax-straw.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara yang berlangsung sepanjang BEFF 2017, orang ramai boleh layari laman web www.beff. org.my atau layari laman Facebook BEFF.
Segala aktiviti sepanjang BEFF berlangsung akan diadakan di Aras 5 dan 6 Kompleks Suria Sabah.