Berkahwin secara tidak sah, lelaki didenda RM8,000
KOTA KINABALU: Seoranglelakiyangberkahwin secara tidak sah untuk kali kedua, dikenakan denda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Philip Kenneth Chau, 48, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie, selepas mengaku bersalah.
Tertuduh didapati berkahwin pada 28 Januari 2006 jam 9 pagi di Mahkamah Anak Negeri Penampang, semasa isterinya yang sah masih hidup.
Atas kesalahan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 494 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda.
Jika gagal membayar denda berkenaan, penjara selama tempoh 12 bulan dikenakan terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, pada 17 Januari tahun lalu, pengadu membuat laporan polis terhadap suaminya (tertuduh), kerana berlaku curang dan berkahwin dengan seorang wanita.
Dipercayai, perkahwinan berkenaan didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri Penampang pada 2006.
Pengadu dan tertuduh berkahwin pada 17 Mac 1994, didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Penampang sehingga kini sah sebagai suami isteri.
Sejak 2006, pengadu tidak dapat menghubungi tertuduh kerana menghilangkan diri.
Siasatan awal mendedahkan, pengadu mendapat tahu mengenai perkara terbabit setelah diberitahu anak perempuannya.
Tertuduh ada menghubungi anak mereka melalui laman sosial Facebook serta mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki.
Pengadu seterusnya membuat laporan kepada pihak JPN kerana perkahwinan mereka berdaftar secara sah.
Dalam pada itu, Philip diwakili peguam Hairul V. Othman.