5,000 permohonan bantuan musim tengkujuh diterima setakat 5 Sept
KUALA LUMPUR:Kira-kira 5,000 permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) diterima daripada pemilik pekebun kecil getah dan penoreh setakat semalam sejak permohonan menerusi dalam talian dibuka pada Jumaat (1 Sept).
Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Operasi Lembaga Getah Malaysia, Dr Suarni Sumormo berkata dianggarkan 440,000 pekebun kecil layak menerima bantuan kewangan BMT sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan, iaitu dari November hingga Januari tahun depan berikutan musim tengkujuh.
“Ini adalah kali pertama BMT diperkenalkan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017. Ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terpelihara melalui peruntukan sebanyak RM261 juta,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan BMT di sini, hari ini.
Suarni berkata pemilik kebun getah yang masih belum ditoreh atau belum matang (pokok belum mengeluarkan hasil) dan kebun yang ditanam semula juga layak untuk membuat permohonan.
Beliau berkata setiap pekebun kecil getah layak membuat satu permohonan sahaja dan bayaran pertama BMT akan dibuat pada 1 Nov terus ke akaun mereka tanpa melibatkan orang tengah bagi mengelakkan ketirisan.
Suarni berkata antara syarat utama permohonan BMT adalah pekebun kecil getah individu dan yang di bawah seliaan agensi pelaksana mestilah memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).
“Setiap pengusaha atau penoreh getah yang memiliki PAT-G layak membuat permohonan tuntutan BMT dan wajib menyertakan satu resit rasmi LGM sebagai bukti jualan getah bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept 2017,” jelasnya.
Pekebun kecil terbabit boleh menyemak status permohonan dan pembayaran bantuan berkenaan melalui aplikasi eBantuan yang akan dilancarkan Jumaat ini, katanya.- Bernama