HRW: Penyeksaan di Mesir jenayah antikemanusiaan
BEIRUT: Human Rights Watch (HRW) dalam laporan yang dikeluarkan semalam menuduh perkhidmatan keselamatan Mesir menyeksa tahanan dalam jenayah antikemanusiaan.
Kumpulan hak asasi yang berpusat di New York itu menyatakan perkhidmatan keselamatan di negara Afrika Utara itu menggunakan penyeksaan sebagai amalan bersistematik terhadap suspek penentang kerajaan.
HRW kerap menuduh perkhidmatan keselamatan Mesir mengamalkan penyeksaan, satu tuduhan yang dinafikan kementerian dalam negeri.
Kerajaan memaklumkan terdapat kes individu di mana beberapa anggota polis telah didakwa dan dijatuhkan hukuman atas kematian kejam tahanan sejak beberapa tahun ini.
“Human Rights Watch percaya epidemik penyeksaan di Mesir kemungkinan bersamaan dengan jenayah antikemanusiaan, disebabkan oleh amalan bersistematik yang menular di seluruh Mesir,” menurut laporan.
Ia menyatakan ia telah menemu bual 19 bekas tahanan yang memperincikan kaedah penyeksaan, termasuk renjatan elektrik, polis menggari tangan suspek dan memukul mereka dengan tangan.
“Dalam kedudukan lain, dikenali sebagai ‘ayam panggang’, anggota polis meletakkan batang kayu atau besi di belakang lutut suspek, mengikat tangan mereka pada batang besi dari arah yang bertentangan supaya besi itu terletak di antara siku dan belakang lutut mereka, dan mengikat tangan di atas tulang kering bagi memastikan mereka berada dalam kedudukan tersebut,” menurut laporan.
Besi itu kemudian diangkat, meletakkan suspek dalam keadaan menyerupai ayam yang berada di atas api pemanggang.
Laporan memetik seorang bekas tahanan menyatakan pihak polis telah meliwatnya beberapa kali menggunakan sebatang kayu.
Pada Februari tahun lepas, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun ke atas seorang anggota polis yang didapati bersalah memukul sehingga mati seorang pakar bedah veterinari yang berada dalam tahanan di bandar Terusan Suez Ismailiya.
Pada Disember 2015, mahkamah di bandar Tanta di delta Nil menjatuhkan hukuman terhadap dua anggota polis yang tidak hadir penjara seumur hidup kerana membunuh seorang tahanan lelaki.
Pada bulan yang sama, sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap dua orang anggota polis rahsia penjara selama lima tahun kerana memukul sehingga mati seorang peguam yang dipenjarakan di sebuah balai polis Kaherah.
Di dalam laporannya, HRW mencadangkan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengarahkan kementerian kehakiman melantik pendakwa raya khas bagi menyiasat aduan mengenai penderaan dan mendakwa mereka.
“Menggagalkan usaha serius pentadbiran Sisi dalam menangani epidemik ini, kami menggesa negara anggota PBB untuk menyiasat dan mendakwa di mahkamah mereka anggota keselamatan Mesir dan pegawai lain yang dituduh melakukan penyeksaan atau membenarkannya berlaku, di bawah prinsip pengadilan sejagat,” tegas HRW. — AFP