Mayat reput terdampar di pantai Pasifik
MAJURO: Satu mayat reput, dipercayai rakyat Mexico atau Colombia, ditemui di dalam bot di pulau terpencil Pasifik, menurut pihak berkuasa semalam yang percaya ia hanyut sejauh 9,400 kilometer dari Amerika Latin.
Mayat ditemui dalam bot gentian kaca biru sepanjang enam meter dengan enjin 150 kuasa kuda di Terumbu Likiep, Kepulauan Marshall.
Pihak berkuasa percaya terdapat tiga orang di dalam bot tersebut, seorang dari Mexico dan dua dari Colombia, berdasarkan kepada kad pengenalan yang ditemui.
“Mayat itu telah reput, maka kami tidak dapat mengenal pasti identitinya dengan kad ID yang kami temui di dalam bot,” menurut Datuk Bandar Likiep Atoll Veronica Wase.
Salah seorang daripada mereka adalah nelayan untuk ‘ikan hiasan’ berdasarkan kepada satu lagi dokumen yang ditemui di dalam bot.
Dua nelayan dari Likiep menemui bot tersebut Jumaat lepas lantas memaklumkan pegawai tempatan, dengan Wase menyeru pegawai kerajaan, penguatkuasa undang-undang dan kesihatan dari bandar Majuro.
Mayat ditinggalkan di pelabuhan, 386 kilometer di utara Majuro, sebelum dibakar awal minggu ini bagi mengelak masalah kesihatan terhadap penduduk tempatan, kata pihak berkuasa.
Tiga tahun lepas, rakyat El Salvador, Jose Alvarenga, terselamat setelah hanyut 14 bulan dari Mexico sehingga ke Terumbu Ebon di Marshall dalam bot gentian kaca.
Seorang lagi nelayan bersama Alvarenga mati semasa perjalanan tersebut.
Pada 2006, tiga rakyat Mexico diselamatkan dekat Marshall setelah lebih sembilan bulan hanyut. — AFP