MDLBS mengharamkan penggunaan beg plastik
Lancar pelan tindakan, program pendidikan wujud kesedaran agar tidak guna plastik
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah melancarkan pelan tindakan seperti kempen ‘Tiada Beg Plastik’ dan siri program pendidikan bagi mewujudkan kesedaran orang ramai agar tidak menggunakan beg plastik.
Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata pihaknya mengikuti jejak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengharamkan penggunaan beg plastik di kawasan seliaannya.
“Semasa mesyuarat bulan lalu, MDLBS sebulat suara bersetuju penggunaan beg plastik diharamkan.
“Ini sejajar dengan arahan dikeluarkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“MDLBS juga mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan tidak menggunakan beg plastik di kedai, pusat beli-belah dan lain-lain,” katanya di sini pada Selasa.
Sempurai menjelaskan orang ramai harus sedar beg plastik akan mencemarkan alam sekitar kerana mengambil masa lama untuk hancur.
Sebagai alternatif, MDLBS menggalakkan pemilik kedai dan pengguna menggunakan beg kertas dan beg boleh dikitar semula menggantikan beg plastik.
“Saya harap semua pihak memainkan peranan masing masing bermula dari sekarang ,” ujarnya.
Ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS minggu lalu, Pengerusinya Datuk T i ong Thai King berkata MPS melancarkan kempen ‘Say No To Plastic Bags 2.0’ pada Oktober depan.
Menurut Tiong, semua kedai runcit dan perusahaan mesti menggantikan beg plastik dengan beg boleh kitar semula atau kotak kertas manakala orang ramai digalak membawa beg sendiri.
“Semasa mesyuarat bulan lalu, MDLBS sebulat suara bersetuju penggunaan beg plastik diharamkan. Ini sejajar dengan arahan dikeluarkan Kementerian Kerajaan ” Tempatan dan Perumahan. KAUNSELOR SEMPURAI PETRUS NGELAI Pengerusi MDLBS