Syarikat Malaysia digesa seiring dengan industri 4.0
KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia perlu seiring dengan apa yang dikenali sebagai revolusi perindustrian keempat, atau Industri 4.0, kata Timbalan Ketua Pengarah (Modal Insan) Unit Perancang Ekonomi, Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata dunia berubah dengan cepat dari segi revolusi digital dan teknologi baharu dalam bidang lain, dan syarikat Malaysia perlu turut serta dan sejajar dengan perubahan tersebut.
“Kita dapat melihat kebanyakan daripada mereka masih bergantung kepada tenaga buruh murah dan automasi pada tahap yang rendah. Buat masa ini, tiada masalah tetapi jika mereka melihat ke hadapan, syarikat perlu berubah untuk menjadi kompetitif,” katanya kepada Bernama di luar persidangan ‘Industri 4.0 dan Pendigitalan’ di sini kelmarin.
Johan memuji tenaga kerja muda Malaysia yang berani menerima revolusi digital.
Persidangan selama dua hari itu, bermula kelmarin, dianjurkan oleh Talent Development (M) Sdn Bhd dan Institut Pengurusan Malaysia.
Ia fokus kepada keperluan Malaysia untuk respons kepada revolusi perindustrian keempat susulan banyak syarikat melaksanakan automasi.
Sementara itu, perunding utama dengan National Digital Talent Development di Huawei Technologies Ltd, Imran Kunalan Abdullah berkata syarikat perlu melakukan penilaian yang sewajarnya sebelum memulakan Industri 4.0.
“Pertama, mereka perlu menganalisis nilai yang mereka boleh dapat daripada langkah ini berikutan ia melibatkan pelaburan modal yang besar yang berkaitan dengan jentera dan teknologi.
“Kembali kepada asas perniagaan dan merangka strategi dan mungkin pemilik perniagaan boleh menjalankan inisiatif perintis untuk menguji keupayaan mereka dan mencari tenaga kerja yang sesuai yang dapat menyusun teknologi baharu ini,” katanya. — Bernama