Utusan Borneo (Sabah)

Kecemerlan­gan luar biasa Ahmad Faiz pengiktira­fan buat Malaysia

-

KUALA NERUS: Kecemerlan­gan luar biasa yang dicapai pelajar Orang Kelainan Upaya, Ahmad Faiz Ibrahim, 19 adalah satu lagi bukti mengenai kebolehan rakyat negara ini dalam menterjema­hkan slogan Malaysia Boleh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Ahmad Faiz yang menghidap Celebral Palsy bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran sehingga muncul antara 19 pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 dengan keputusan Mumtaz (Cemerlang), malah beliau juga mampu menghafal 30 juzuk al Quran.

“Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ahmad Faiz adalah seorang pelajar yang sangat genius. Dengan keadaan beliau yang sebegini, bukan calang-calang orang boleh berjaya hafaz 30 juzuk al Quran dan diterima masuk ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin).

“Ini adalah satu pengiktira­fan yang begitu tinggi kepada semua rakyat Malaysia, sama seperti ditunjukka­n oleh atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2016. Kita doakan kejayaan dan kesungguha­n Ahmad Faiz ini akan menjadi sumber motivasi kepada orang lain khususnya pelajar di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaia­n hadiah sempena Minggu Sukan Seberang Takir - Cikgu Razif bersama Komuniti di Dataran Permata Seberang Takir di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut menyerahka­n sumbangan kerajaan negeri Terengganu kepada Ahmad Faiz iaitu sebuah komputer riba untuk memudahkan sesi pembelajar­annya sepanjang berada di UniSZA.

Turut hadir menyaksika­n majlis pemberian itu ialah Naib Canselor Unizsa Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif serta kedua ibu bapa Ahmad Faiz iaitu Ibrahim Yusof, 48, dan Zalina Mohd Kassim, 43.

Ahmad Razif berkata sebelum ini, Kementeria­n Pendidikan Tinggi melalui UniSZA telah memberi kebenaran khas untuk Ahmad Faiz mengikuti pengajian di rumah tanpa perlu hadir ke bilik kuliah seperti pelajar UniSZA yang lain melalui sistem pengajian secara atas talian.

“Melihat Ahmad Faiz saya teringat kepada Allahyarha­m Profesor Datuk Dr Ismail Salleh (senator OKU pertama) dan Thomas Alva Edison yang mencipta mentol. Semoga Ahmad Faiz terus cemerlang mengejar impiannya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia