‘End in Sipadan’ berakhir Oktober
Pulau Sipadan antara destinasi selaman tercantik dunia
UMUM mengetahui Pulau Sipadan antara destinasi selaman yang tercantik di dunia.
Pemandangan indah dasar lautan di kawasan berkenaan memiliki ciri keunikannya yang tersendiri.
Ia juga antara faktor yang membawa ramai penyelam dari seluruh dunia berkunjung ke Sipadan.
Menyedari keistimewaan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) tampil dengan misi untuk melaksanakan program
‘End in Sipadan’ sejak April tahun ini.
Pengarah Pejabat Motac Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, matlamat utama program End in
Sipadan adalah untuk menjadikannya sebagai peneraju pusat selaman yang terkenal di dunia.
Menurutnya, sepanjang program berkenaan, pelbagai aktiviti dilaksanakan secara berterusan termasuklah penanaman tukun tiruan dan mengenal pasti lokasi baharu untuk aktiviti selaman. Pada masa sama katanya,
End in Sipadan dapat membongkar lebih banyak kawasan yang memiliki potensi tinggi untuk dijadikan sebagai pusat selaman yang menarik.
“Sebelum sampai ke Sipadan, kita menjelajah dahulu ke beberapa lokasi selaman yang terkenal di negeri ini.
“Ia termasuklah di MariMari Sepanggar Resort, Pulau Mantanani, Kudat, Lahad Datu, dan Sipadan.
“Kita jangka pada pertengahan Oktober depan,
End in Sipadan mencapai matlamat utamanya untuk sampai ke Pulau Sipadan.
“Sepanjang program ini, kita cuba untuk
menyambungkan rangkaian laluan dari setiap tapak selaman di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena penutupan program ‘End in Sipadan Motac Media Dive Team’
pada Khamis.
Ahmad Zaki berkata, penyertaan pengamal media amat penting bagi memastikan liputan mengenai program ini dapat disebarluaskan kepada masyarakat.
Sejak program berkenaan dijalankan jelasnya, kirakira 20 orang pengamal media berjaya mengikuti kursus selaman.
Menurutnya, program itu dianjurkan bersama Persatuan Backpackers Sabah (SBA), operator selaman yang juga ahli SBA, dan agensi pelancongan tempatan.
“Di Sabah, masih banyak kawasan selaman yang unik dan menarik tetapi belum diterokai sepenuhnya.
“Seperti di Lahad Datu, ia adalah tapak selaman yang mempunyai terumbu karang paling banyak dan unik.
“Namun, ia masih kurang dikenali. Justeru, penerokaan kita dibawah program End in Sipadan diharap mampu menaikkan nama-nama kawasan selaman ini untuk pembangunan industri pelancongan Sabah.
Beliau berkata, satu lagi aktiviti yang dijalankan adalah lukisan pemetaan di dalam laut.
Menerusi aktiviti itu jelasnya, pihak berkaitan dapat merancang aktiviti menyelam dengan menggunakan peta berkenaan.
Sementara itu, Presiden SBA Richie Lee berkata, kerjasama antara Motac dan pihaknya adalah untuk mengenal pasti laluan rangkaian selaman di negeri ini.
Selain itu katanya, ia dapat membantu ahli SBA yang menjalankan operasi aktiviti selaman mempromosikan produk mereka.
“Penglibatan media dalam program End in Sipadan banyak membantu kami dalam memperluaskan lagi maklumat berkaitan destinasi dan aktiviti selaman di Sabah.
“Bagaimanapun, kami mahu para pengamal media dapat terlibat sama semasa kami menjalankan aktiviti selaman agar mereka juga merasai pengalaman menyelam.
“Justeru, dengan menyediakan kursus seperti ini, kami mendapat sokongan tinggi daripada media sekaligus membantu menjayakan program End in
Sipadan,” katanya. Salah seorang peserta yang juga wartawan surat khabar China Press Lee Shaw Yun berkata, peluang menyertai kursus berkenaan adalah satu pengalaman yang sangat berharga.
Beliau berkata, selama tiga hari kursus dijalankan, setiap peserta diajar tentang teknik dan kemahiran menyelam.
“Ini juga peluang untuk kami melihat sendiri keadaan di dasar lautan kita yang mana sebelum ini hanya dilihat melalui televisyen.
“Saya berasa amat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada peserta program ini dan berjaya menjadi seorang penyelam,” jelasnya.