Kes bunuh 17 tahun lalu, dua diekstradisi
MONTREAL: Mahkamah Agung Kanada kelmarin memutuskan dua dari rakyatnya boleh diekstradisikan ke India ekoran peranan mereka dalam satu pembunuhan demi maruah 17 tahun lepas.
Surjit Singh Badesha, 72, dan Malkit Kaur Sidhu, 67, dikehendaki berhubung pembunuhan Jaswinder Kaur Sidhu yang berusia 25 tahun ketika kematiannya.
Suspek, kedua-duanya rakyat Kanada keturunan India, merupakan bapa saudara dan ibu mangsa.
Mayat Jaswinder Kaur Sidhu ditemui dalam keadaan lehernya dikelar pada Jun 2000 di negeri Punjab.
Pendakwa raya India percaya Jaswinder mangsa pembunuhan demi maruah yang dirancang ibu dan bapa saudaranya, yang membantah tegas perkahwinannya dengan seorang tukang beca miskin yang telah dirahsiakannya selama setahun.
Selepas mendedahkan perkahwinannya kepada keluarganya, mangsa dilaporkan berlepas dari Kanada ke India untuk bersatu semula dengan suaminya Mithu Sidhu.
Pasangan itu kemudiannya diserang ketika menaiki skuter di kampung berhampiran Sangrur, Punjab pada Jun 2000.
Suaminya dibelasah dengan teruk sehingga parah manakala Sidhu telah diculik dan kemudian dibunuh.
Ibu dan bapa saudara kepada wanita yang dibunuh dikatakan telah mengupah samseng untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Tujuh lelaki kemudian disabitkan atas jenayah tersebut di India, namun beberapa pensabitan itu kemudian dibatalkan dan tertuduh dibenarkan bebas.
Keluarganya telah menafikan penglibatan mereka dalam pembunuhan mangsa.
Tiga didapati bersalah atas pembunuhan tersebut di India, dan pihak berkuasa selama beberapa tahun telah cuba untuk mendapatkan ekstradisi terhadap dua warga Indo-Kanada itu.
Menteri kehakiman Kanada membenarkan satu ekstradisi pada 2014, namun keputusan itu ditarik balik susulan rayuan pada 2016.
Bagaimanapun kelmarin sembilan hakim Mahkamah Agung sebulat suara membenarkannya. — AFP