Konvoi Singgah Merdeka Esscom Peringkat Lahad Datu
LAHAD DATU: Konvoi Singgah Merdeka Esscom bertujuan berkongsi rasa perjuangan dan kemerdekaan yang dikecapi antara anggota keselamatandanbeliakhususnya pelajar.
Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan generasi muda merasai serta meraikan rasa kemerdekaan secara bersama pasukan keselamatan yang pernah susah dan merasai perjuangan kemerdekaan sebelum ini.
“Selaku pewaris negara, generasi muda seharusnya lebih menghargai, menghayati erti kemerdekaan selain melaksanakan apa juga yang terbaik demi bangsa dan negara yang dicintai menerusi kemerdekaan yang kita kecapi hasil pengorbanan orang terdahulu.
“Kita sedia maklum bahawa ada dalam kalangan anak muda masa kini mudah lupa mereka adalah pemimpin generasi masa hadapan yang akan terus menerajui negara ini.
“Justeru, kita ingin terapkan kefahaman bahawa semangat kemerdekaan ini adalah hak milik kita semua dan kita mahu kemerdekaan ini terus diwarisi dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Singgah Merdeka Esscom 2017 Peringkat Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segama, di sini pada Selasa.
Terdahulu, Noor Alam dalam ucapannya menasihati golongan belia agar berusaha menjadi lebih berkualiti untuk negara.
“Mereka haruslah mempunyai personaliti yang berkualiti, berintegriti dan tidak bersikap sambil lewa di samping menjadikan diri sebagai seorang pelajar yang terbaik bukan sahaja untuk daerah dan negeri malah kepada negara suatu hari kelak.
“Sehubungan itu, kita meminta agar masyasakat khususnya di peringkat sekolah mahupun daerah agar terus mengekalkan kejayaan kemerdekaan ini selamanya,” katanya.
Sementara itu, seramai 40 pegawai Esscom telah menyertai konvoi dengan menaiki 25 kenderaan termasuk dua kenderaan perisai yang melalui jalan bandar, seterusnya melawati tujuh sekolah iaitu SMK Agaseh, SM St Dominic, SM Cina Lahad Datu, SMK Terusan, SMK Sepagaya, SM Sains Lahad Datu dan berakhir di SMK Segama Lahad Datu.