11 maut lawan askar Venezuela
CARACAS: Sebelas maut dalam satu insiden berbalas tembakan dengan askar di tenggara Venezuela, di mana geng-geng jenayah berebut kuasa ke atas lombong emas, kata pejabat pendakwa negara kelmarin.
Pertempuran itu berlaku Ahad lepas di bandar Tumeremo apabila sepasukan peronda yang menyiasat laporan tentang sebuah “organisasi bersenjata” di kawasan tersebut “dikejutkan oleh sekumpulan individu tidak dikenali”, pejabat itu menyebut dalam satu kenyataan.
“Ia menyebabkan kejadian berbalas tembakan. Kesudahan kepada pertempuran itu, 11 lelaki maut dan seorang anggota tentera cedera,” katanya, dan menambah siasatan sudah dibuka ke atas insiden itu.
Keganasan itu menyusuli konfrontasi yang serupa pada 14 Ogos lalu di antara satu kumpulan yang disyaki kumpulan samseng dengan pasukan peronda campuran tentera dan polis, di bandar berdekatan El Callao. Lapan orang mati dalam insiden itu.
Wilayah berkenaan mempunyai reputasi sebagai tempat yang ganas dan tidak ada undang-undang, didorong olehj pelombongan dan perdagangan emas.
Pada tahun lepas di Tumeremo, sebuah kubur beswar telah dijumpai dengan mayat 17 pelombong yang ditembak mati pada bahagian kepala dan dada.
Beberapa bulan kemudian, satu lagi pembunuhan beramai-ramai melibatkan 11 orang direkodkan di bandar yang sama.
Menurut pendakwa raya, sebanyak 21,752 kes pembunuhan dilaporkan di seluruh Venezuela pada tahun lepas.
Kadar pembunuhannya menjadikannya salah sebuah negara paling berdarah di dunia. — AFP