Utusan Borneo (Sabah)

Mayat wanita dibawa arus banjir ditemui

-

GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang yang dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Paya Terubong ketika menunggang motosikal meredah banjir pada Jumaat, ditemukan lemas di dalam sungai berhampira­n Bukit Jambul pada Sabtu.

Pegawai Perhubunga­n Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azman Hussin berkata mayat Noor Afidah Yajunas, 29, ditemui pada 7.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat yang ditubuhkan susulan kejadian.

“Dalam kejadian semalam, mangsa dilaporkan terjatuh dari motosikal yang ditunggang­nya dan dihanyutka­n arus deras. Berikutan itu pihak bomba menjalanka­n operasi mencari dan menyelamat wanita itu.

“Kami menjalanka­n operasi mencari bermula dari lokasi mangsa terjatuh iaitu di dalam longkang yang mempunyai keluasan dan kedalaman satu meter itu hingga ke kawasan sungai berdekatan semalam namun gagal menemui mangsa,” katanya di sini pada Sabtu.

Katanya operasi diteruskan malam tadi hingga awal pagi ini bersama beberapa agensi lain antaranya polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Pada pukul 7.45 pagi, komander operasi menemui mayat mangsa di dalam sungai berhampira­n kawasan Bukit Jambul,” katanya menambah mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa Hadisah Jalil, 60-an, berkata mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu namun bersyukur kerana mayat anaknya berjaya ditemukan pada Sabtu.

“Selepas dimaklumka­n kejadian itu semalam, mak cik dan keluarga berdoa agar dia ditemui selamat tetapi hari ini hanya mayatnya ditemui. Walaupun sedih.. mak cik terima,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia