16 September tarikh bersejarah
Bawa manfaat besar kepada seluruh rakyat
KOTA KINABALU: Tanggal 16 September adalah satu tarikh yang sangat bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya Sabah apabila rakyat di sini yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik telah bersatu, sehati dan sejiwa membentuk Malaysia.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, Pembentukan Malaysia itu juga seterusnya membebaskan negara ini daripada belenggu penjajahan.
“Berdasarkan sejarah dan fakta, tiada siapa pun boleh menafikan bahawa menerusi kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, ia telah membawa banyak manfaat yang besar kepada rakyat dan Negeri Sabah dalam pelbagai bidang.
“Ini termasuklah dari segi keselamatan, kestabilan politik dan pentadbiran, pembangunan pesat dan transformasi ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran sosial ,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia 2017 di sini, malam Sabtu.
Beliau berkata, pembentukan Malaysia sejak 54 tahun lalu telah membawa banyak manfaat kepada kepada negara dan juga rakyat.
Daripada sebuah negara yang mundur dan serba kekurangan, hari ini Malaysia adalah antara negara di dunia yang sedang pesat membangun.
“Pembangunan yang dicapai sesuai dengan citacita kita untuk menjadi ‘the top 20 Nations of the world in 2050’, sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri kita.
“Sesungguhnya, impian ini tidak mustahil untuk dicapai kerana kita mempunyai kekuatan dari segi kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mantap, keharmonian kaum, kesederhanaan serta iltizam politik yang tinggi di pihak kerajaan dalam menunaikan mandat serta amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Menurutnya, sempena sambutan Hari Malaysia, kerajaan beriltizam untuk terus memperjuangkan hak, kepentingan rakyat Sabah dengan cara dan pendekatan yang tersendiri.
Musa berkata, telah terbukti bahawa apa juga perkara yang dibangkitkan berkaitan hak dan kepentingan negeri ini menerusi perbincangan dan rundingan, ia telah banyak membuahkan hasil dan kejayaan untuk manfaat rakyat Sabah.
“Kita percaya dengan keprihatinan Perdana Menteri dan hubungan yang terjalin erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, apa juga permintaan kita akan diberi pertimbangan sewajarnya demi memastikan rakyat Sabah menikmati lebih banyak pembangunan dan kemajuan,” katanya.
Hadir menyempurnakan sambutan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin serta menterimenteri Kabinet Negeri dan Persekutuan serta tetamu kehormat yang lain.
“Berdasarkan sejarah dan fakta, tiada siapa pun boleh menafikan bahawa menerusi kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, ia telah membawa banyak manfaat yang besar kepada rakyat dan bidang.” Negeri Sabah dalam pelbagai
TAN SRI MUSA HAJI AMAN Ketua Menteri