80 sukarelawan ICU JPM sertai program Jalinan Kasih
DENGKEL (Selangor): Seramai 80 sukarelawan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah menyertai program Jalinan Kasih #Jombaikirumah di tiga buah kampung di Jenderam Hilir di sini.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Zolkopli Dahalan.
Dalam ucapannya di Kampung Aminuddin Jenderam Hilir Dengkel pada Sabtu, beliau berkata program itu dapat meningkatkan semangat kerjasama yang tinggi, untuk mengetahui dan memupuk hubungan antara ahli ICU dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata program gotong royong ini telah lama diamalkan oleh masyarakat Malaysia dalam menyelesaikan masalah.
Zo l k o p l i berkata keputusan kerajaan untuk menyediakan peruntukan berasaskan rumah bagi gotong royong bersama adalah tepat pada masanya.
Beliau berkata ia adalah untuk kebajikan orang yang kurang bernasib baik serta menanam semangat kekitaan dan mewujudkan semangat berpasukan yang tinggi.
“Atas dasar ini, program berkenaan telah ditetapkan bukan sahaja untuk membantu golongan yang memerlukan tetapi juga untuk platform semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Melalui aktiviti itu, sukarelawan ICU JPM dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Beliau berkata, usaha itu perlu diteruskan dan dilaksanakan dalam menjalankan tugas harian mereka.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) Jenderam Hilir, Zulkifli Wahab memuji usaha yang dilakukan oleh sukarelawan ICU JPM kerana berjaya melaksanakan pembaikan dan mengecat semula rumah secara bersama.
Turut hadir ialah Adun Dengkel Shahrum Mohd Sarif, Pegawai Pembangunan Persekutuan Selangor Datuk Rosli Ramli, Pengarah Bahagian ICU dan pemimpin masyarakat setempat.