Bekas guru isi masa lapang ternak lebih 3,000 ayam kampung
KUALA NERANG: Pernah ditipu dalam perjanjian jual beli ayam kampung mencecah lebih RM30,000, tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal, Habsah Abdul Rahman, 61, untuk terus berkecimpung dalam penternakan ayam kampung di Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam, di sini.
Disebabkan minat, beliau yang juga pesara guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Darulaman, sanggup mengetepikan pengalaman pahit tersebut yang berlaku empat tahun lalu dan menganggapnya sebagai satu pengajaran yang berguna dalam menguruskan sesuatu perniagaan.
“Itulah salah satu pengalaman yang tak boleh saya lupakan apabila ditipu oleh pembeli yang sebelum itu berjanji untuk membeli 2,000 ayam kampung hidup (belum sembelih) namun membatalkan pembelian pada saat akhir.
“Ia menyebabkan lambakan ayam...mujur FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) datang membeli sekitar RM6.50 sekilogram berbanding RM13 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Bertitik tolak dari itu, Habsah yang memulakan usahanya itu dengan modal RM50,000, tidak lagi boleh mengharapkan jualan ayam hidup semata-mata sebaliknya menghasilkan ayam yang diproses dan disejuk beku serta produk hiliran lain seperti rendang, gulai dan serunding ayam kampung yang mendapat permintaan yang menggalakkan.
“Produk berasaskan ayam kampung ini mendapat sambutan daripada pelanggan di sekitar Jitra, Alor Setar dan masyarakat setempat,” katanya yang meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Habsah dibantu cucu saudaranya, Wan Elyas Wan Ahmad, 23, dan seorang pekerja, untuk menguruskan ladang ternakan itu yang melibatkan 3,000 ayam kampung di ladangnya yang berdekatan sumber air dari bukit berdekatan.
Bagi menjamin kualiti ayam, hasil bimbingan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Habsah juga menghasilkan makanan ternakan sendiri menggunakan sisa makanan, bijirin dan buah-buahan untuk mengurangkan kos operasi.
“Ayam-ayam ini juga diberi makan bijirin campuran seperti jangung, gandum dan buahbuahan campur untuk memastikan ia sihat dan betul-betul organik tanpa menggunakan bahan kimia, malah sehingga mencapai usia matang ayam-ayam ini tidak diberi suntikan hormon dan vaksin.
“KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) banyak membantu, membiayai kos membina reban ayam dan juga vakum pembungkusan ayam yang diproses,” katanya dan menambah, ayam-ayam ini dijual pada harga ladang RM13 sekilogram.
Selain menjual ayam kampung, beliau turut menghasilkan sendiri anak ayam dan burung puyuh yang ditetaskan menggunakan mesin tetasan untuk dijual pada harga RM3 seekor.
Habsah berkata, beliau kini dalam proses memenuhi beberapa kriteria bagi mendapatkan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) untuk memudahkan produk keluarannya menembusi pasaran global.