Utusan Borneo (Sabah)

Hubungan Malaysia-Indonesia ibarat sebuah keluarga: Najib

-

JAKARTA: Malaysia sentiasa menganggap hubungan dua hala dengan Indoensia seperti hubungan dalam sebuah keluarga yang diumpamaka­n “air yang dicincang tak akan putus”, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun hubungan antara kedua-dua negara ini mengalami kisah pahit-manis dan suka-duka dalam melakar sejarah negara masing-masing namun talian persaudara­an yang terbina antara Malaysia-Indonesia semakin hari semakin kukuh.

“Saya yakin bahawa hubungan akrab dan positif antara dua buah negara berjiran bukan sahaja mampu menjadi semakin mantap bahkan bertambah kukuh melangkaui sempadan diplomatik,” katanya dalam amanat khas yang disiarkan menerusi klip video sempena majlis makan malam sambutan Hari Malaysia dan 60 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-Indonesia di sini malam Khamis.

Majlis anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia itu dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Muhajir Effendy, Menteri Komunikasi dan Informatik Indonesia Rudyantara, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, dutaduta negara asing dan ahli-ahli perniagaan.

Najib berkata adalah menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia dan Indonesia kerana kedua-dua negara ini bukan sekadar berjiran malah mempunyai banyak persamaan serta berkongsi budaya dan bahasa yang melambangk­an kekayaan bangsa serumpun.

Perdana menteri juga menyeru semua pihak agar terus memelihara dan memperkuku­h hubungan akrab yang terbina itu agar mampu melampaui batas-batas kebudayaan yang lazim.

Hubungan yang dibina selama 60 tahun tidak harus dilihat dari aspek hubungan rasmi sahaja malah semua pihak harus berusaha meningkatk­annya ke tahap lebih tinggi untuk generasi akan datang, katanya.

Terdahulu itu, Muhajir berkata walaupun hubungan Malaysia Indonesia mempunyai pasang surut tetapi para pemimpinny­a sentiasa mengutamak­an kedamaian hidup berjiran.

Slogan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia “Negaraku Sehati Sejiwa” itu perlu diperluask­an di peringkat hubungan antara Malaysia dan Indonesia supaya rakyat di keduadua buah negara juga menjadi hubungan sehati sejiwa, katanya.

Beliau berkata slogan sehati sejiwa itu sangat mendalam maknanya jika ia dapat diperluask­an dalam hubungan rakyat dengan rakyat antara Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata pihak kedutaan sering menganjurk­an pelbagai program persahabat­an dengan Indonesia kerana mengambil pendekatan “mensejahte­rakan jiran” dalam mengukuhka­n hubungan. Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia