Utusan Borneo (Sabah)

Juruteknik kilang didakwa beri sokongan dan miliki bahan kumpulan Daesh

-

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik kilang pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahanbahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, tahun lepas.

Muhammad Safuan Mohd, 29, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara melafazkan sumpah taat setia kepada kumpulan itu melalui aplikasi Telegram ‘Gagak Hitam’ atas nama Abu Marwan Salaki, di Seksyen U5, Petaling Jaya, Selangor, pada 3.29 pagi, 30 Mac 2016.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun, atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh iaitu 72 video, 19 keping gambar dan 419 naskah dokumen dalam sebuah telefon, di lot tempat letak kereta, Seksyen U5, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 7 malam, pada 16 Okt 2016.

Tertuduh yang sudah berumah tangga itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas manamana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 12 Okt untuk sebutan semula kes. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia