Utusan Borneo (Sabah)

Perbuatan sengaja dibakar

Punca kebakaran pusat tahfiz

-

PUTRAJAYA: Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiya­h di Kuala Lumpur pada Khamis lalu berpunca daripada perbuatan sengaja dibakar, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata kebakaran didapati bermula di pintu masuk bilik asrama aras tiga berdasarka­n keterangan saksi, keterangan mangsa terselamat dan disokong dengan kesan kebakaran di hadapan pintu masuk seperti pengelupas­an pada dinding berdekatan pintu, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

Kesan kebakaran pada dinding sekeliling pintu masuk bilik asrama juga menguatkan lagi bukti tempat bermulanya kebakaran di pintu tersebut, katanya.

“Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunaka­n petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di aras tiga bangunan itu,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis berhubung insiden kebakaran di pusat tahfiz itu.

Kebakaran itu meragut nyawa 23 orang melibatkan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu.

Wan Mohd Nor berkata kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga berkenaan.

“Api marak dengan cepat disebabkan oleh gas LPG (gas cecair petroleum) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabka­n ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama.

“Tambahan pula, bahan mudah terbakar yang banyak di bilik asrama menyebabka­n api cepat marak dan meningkatk­an lagi bahang api mengakibat­kan mangsa sedang tidur terkorban dalam masa singkat,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata pasukan penyiasata­n kebakaran JPBM menemui bahan bukti iaitu dua silinder gas LPG berwarna hijau berbelang merah di hadapan pintu masuk bilik asrama.

“Kedua-dua silinder ini sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka,” katanya.

Beliau berkata Unit Pengesan (K9) mengesan tujuh tempat dan mengambil tujuh sampel di hadapan pintu masuk bilik asrama.

Beliau berkata empat ekor anjing digunakan (seekor demi seekor) dan kesemuanya menunjukka­n ke tempat yang sama.

“Sampel telah dianalisis oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasata­n kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengandung­i residu cecair mudah menyala jenis petrol,” katanya.

Wan Mohd berkata laporan kebakaran yang penuh telah dihantar kepada polis pada Rabu.

Wan Mohd Nor dalam pada itu menafikan bahawa pintu masuk bilik asrama disendal dengan spanar.

Beliau berkata pihak bomba telah mendapat petanda bahawa kebakaran di pusat tahfiz tersebut disebabkan perbuatan sengaja dibakar pada 1 tengah hari pada hari kejadian selepas sampel dianalisis mendapati residu cecair mudah menyala jenis petrol.

“Pihak bomba memaklumka­n (petunjuk) kepada polis dan polis memulakan siasatan (pada hari kejadian),” katanya.

Menurut Wan Mohd Nor, seramai 43 anggota dan 17 pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api pada hari kejadian.

Beliau berkata kebakaran berjaya dikawal pada 6.29 pagi.

“Pasukan bomba yang sampai ke tempat kejadian telah membuat penyelamat­an dan pemadaman. Lima sekeluarga yang tinggal di bilik warden berjaya dibawa keluar dengan menggunaka­n tangga jentera bomba melalui tangga belakang.

“Apabila pasukan bomba sampai di bilik asrama semasa pemadaman dan menyelamat, mereka tidak mendengar apaapa suara pelajar. Sebaliknya setelah mereka berjaya masuk ke dalam bilik asrama, mereka telah menemui mangsa yang mati dalam kebakaran,” katanya.

Menurutnya, 23 orang dapat diselamatk­an manakala tiga orang bercuti dan tidak berada di pusat tahfiz tersebut. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia