Kerjasama mengisi kemerdekaan
Saranan kepada generasi pasca merdeka demi memacu kemajuan negara
RAKYAT semua peringkat diajak memperkukuh kerjasama mencapai kemajuan sebagai pengisian kemerdekaan negara ke-60 yang diraikan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu Limus Jury berkata ia penting kerana kemerdekaan negara tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya rakyat tidak bijak dalam melakukan pengisian.
“Justeru, kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, saya mengajak kita semua, khususnya warga Kuala Penyu, untuk terus berganding bahu, berpimpin tangan menuju kemajuan.
“Inilah yang perlu kita lakukan dengan mempertahankan kerajaan yang sedia ada, yang sudah terbukti sejak zamanberzaman, membela nasib rakyat, di bawah payung Barisan Nasional (BN), dengan penuh semangat perwira yang patriotik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Konvoi Merdeka peringkat Kuala Penyu di Kampung Kekapor pada Rabu.
Limus berkata negara baru saja menyambut ulangtahun ke-60 tahun kemerdekaan pada 31 Ogos lepas, dan kemudian meraikan Hari Malaysia pada 16 September.
Menurutnya, kedua-dua sambutan itu adalah satu simbolik yang menandakan negara kini telah bebas sepenuhnya daripada belenggu penjajahan kuasa asing.
Katanya, Hari Kemerdekaan merupakan peristiwa penting dan bersejarah yang disambut secara besar-besaran dengan pelbagai acara, termasuklah di Kuala Penyu, yang mengadakan Konvoi Merdeka sebagai salah satu daripada pengisiannya.
“Sudah tentu, semua ini dilakukan bersama dengan penuh rasa muhibah dan kemesraan oleh seluruh rakyat pelbagai kaum di negara yang tercinta ini, tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap makna kemerdekaan itu dihayati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda selepas negara merdeka.
Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka katanya, Malaysia telah berjaya banyak kejayaan dalam berbagai bidang.
Tambah Limus, walaupun pada awal kemerdekaan dahulu ada sesetengah pihak meramalkan bahawa Malaysia tidak akan kekal sebagai sebuah negara, sebaliknya mungkin jatuh dalam keadaan porak peranda kerana hubungan antara kaum akan menjadi masalah besar bagi negara ini.
“Namun sudah terbukti pada hari ini, bahawa pimpinan kerajaan kita yang ditunjangi oleh Barisan Nasional, telah membuktikan segala pendapat itu tidak tepat sama sekali.
“Negara kita dan Sabah khususnya, sudah mencapai banyak kejayaan kemajuan dan perubahan sepanjang perjalanan tempoh kemerdekaan 60 tahun itu,” katanya.
Beliau mengambil contoh kestabilan politik negara yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa Malaysia yang kukuh lagi mantap.
Limus yang juga Ketua Upko Bahagian Beaufort berkata, perpaduan dan keharmonian kaum yang jitu menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat Malaysia.
“Negeri Sabah misalnya menjadi salah satu bukti yang mencerminkan perpaduan dan keharmonian kaum mampu diwujudkan meskipun rakyat kita hidup dengan dikelilingi oleh kepelbagaian etnik dan budaya,” katanya.
Beliau juga berkata Malaysia berjaya memacu pembangunannya dan membawa perubahan yang begitu menakjubkan.
Ia memberikan inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat jelata betapa Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan mampu direalisasikan dan mengubah landskap negara.
“Kesimpulannya, boleh saya katakan bahawa, kita pada hari ini sudah boleh dan mampu ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan rakyat negara lain yang lebih dahulu mengecapi kemajuan dan pembangunan.
“Semua ini terhasil berkat kesabaran dan kesungguhan kita semua rakyat biasa, dalam mencorakkan halatuju kemajuan negara dan negeri kita sendiri,” katanya.
Hari Kemerdekaan merupakan peristiwa penting dan bersejarah yang disambut secara besar-besaran dengan pelbagai acara, termasuklah di Kuala Penyu, yang mengadakan Konvoi Merdeka sebagai salah satu daripada pengisiannya. Sudah tentu, semua ini dilakukan bersama dengan penuh rasa muhibah dan kemesraan oleh seluruh rakyat pelbagai kaum di negara yang tercinta ini, tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama. ”
LIMUS JURY ADUN Kuala Penyu