Tingkat kesedaran banteras rasuah
Langkah merakyatkan SPRM menerusi Kejar 17
MEMBAKUT: Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah mengadakan Program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar 17) adalah usaha proaktif ke arah meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bersama-sama membanteras rasuah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Arif berkata, usaha merakyatkan SPRM itu dapat memanfaatkan masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, ia membolehkan rakyat menghayati peranan agensi berkenaan dalam memastikan amanah dan integriti pada tahap terbaik.
“Saya bagi pihak pimpinan adat dan masyarakat Membakut mengalu-alukan langkah yang dilaksanakan SPRM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan Rombongan Kejar 17 di sini pada Sabtu.
Hadir sama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Sabli dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Membakut Sanuddin Ismail.
Konvoi rombongan itu berlepas dari Dataran Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Kerajaan Sabah (KPKPS) jam 6.30 pagi dan kemudian singgah di Pekan Papar sebelum ke Membakut dan Beaufort, dan berakhir di Sindumin, Sipitang.
Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut berkata warga daerah ini menghargai inisiatif SPRM mengadakan Kejar 17 dan singgah di daerah ini.
Katanya, ia sesuai dengan konsep Hijrah yang baru diraikan ke arah kebaikan bersama dan yakin ia dihayati bersama.
Beliau juga berkata langkah merakyatkan SPRM itu sebagai susulan Ikrar Banteras Rasuah (IBR) yang ditandatangani oleh wakil rakyat kira-kira tiga bulan yang lalu.
“Saya bagi pihak pimpinan adat dan masyarakat Membakut mengalu-alukan langkah yang dilaksanakan SPRM ini.
DATUK ARIFIN ARIF Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri