Utusan Borneo (Sabah)

Jangan campur aduk politik dalam persatuan etnik

-

LAHAD DATU: Persatuan etnik diingatkan supaya tidak mencampura­dukkan politik dalam penubuhan persatuan masing-masing, sebaliknya mengikut objektif asal yang digariskan ketika penubuhan sesuatu persatuan itu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, persatuan yang dimasukkan elemen politik tidak kekal lama, malah pengurusan persatuan juga menjadi kucar-kacir, sekaligus memecahbel­ahkan kesatuan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum, setiap persatuan seharusnya saling menjalin kerjasama bagi mencari kesamaan, sama ada dari segi bahasa, budaya, selain boleh bertukar pandangan dalam isu berkaitan kemajuan pendidikan bangsa.

“Saya harap penubuhan sesuatu persatuan etnik perlu fokus kepada matlamat dan tujuan seperti Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) yang mempunyai matlamat yang baik iaitu kebajikan, pengajaran pendidikan anakanak bangsa. Ini adalah baik tapi kalau ia menyimpang kepada politik, ia akan menuju kepada permasalah­an di antara sesuatu kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarka­n perasmian PEIS di Dewan Perdana Lahad Datu, di sini.

Nasrun yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, setiap etnik berpotensi untuk mengetenga­hkan budaya masing-masing agar mudah difahami dan diterima masyarakat secara keseluruha­nnya.

Apa yang perlu adalah usaha untuk mengolah kebudayaan mereka bersesuaia­n dengan citarasa masyarakat tanpa membelakan­gkan keaslian budaya masing-masing.

Terdahulu, Presiden PEIS Abdul Karim Hj Dakog berkata, penubuhan PEIS adalah sebagai usaha untuk memertabat­kan etnik Idahan di negeri ini yang merupakan sebahagian daripada masyarakat tempatan yang mendiami daerah pantai timur Sabah.

Katanya, melalui penubuhann­ya juga diharap dapat menjadi rujukan kepada generasi suku kaum itu di masa akan datang untuk mengetahui asal-usul bangsa mereka.

Dalam hal berkaitan, beliau juga mahu agar bidang pendidikan menjadi objektif utama PEIS demi kemajuan generasi muda dalam kalangan etnik itu pada masa hadapan.

 ??  ?? NASRUN memotong kek sebagai gimik perasmian.
NASRUN memotong kek sebagai gimik perasmian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia