MBJ Jheains-Pekerja kumpul usul warga kerja Jheains
TAWAU: Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains)-Pekerja sedang menggerakkan usaha mengumpulkan usul warga kerja jabatan berkenaan di seluruh negeri melibatkan enam bahagian.
Empat bahagian seperti Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Sandakan dan Tawau sudah selesai dilawat, manakala Pedalaman Bawah dan Pantai Barat Selatan bakal menyusul.
Antara usul yang dikumpulkan, berkaitan status perjawatan, kebajikan kakitangan, keperluan prasarana di negeri ini menerusi Program Ziarah Mahabbah MBJ Jheains.
Pengerusi MBJ JheainsPekerja merangkap Pegawai Tadbir Agama Jheains Tawau, Abdul Imam Basirun berkata turut diambil-kira keperluan meningkatkan kualiti pekerja dan perkhidmatan Jheains.
“Usaha mengumpulkan usul ini kita gerakkan semenjak Mei lepas, dan kita jangka kerja di lapangan akan dapat diselesaikan menjelang Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo selepas mempengerusikan Program Ziarah Mahabbah MBJ Jheains Bahagian Tawau di Pejabat Jheains, di sini pada Selasa.
Hasil dapatan terbabit akan diteliti semula oleh mereka sebelum dikemukakan kepada bahagian pengurusan Jheains, khasnya pengarah untuk perhatian dan tindakan lanjut.
“Kita juga akan menyerahkan keputusan input yang diterima untuk makluman Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ariffin Arif,” katanya.
Beliau berkata kesemua usul ataupun aduan itu dijalankan pihaknya menerusi pengedaran Borang Mesra Jabatan (borang kaji selidik) kepada seluruh warga kerja Jheains.
Menurutnya, inisiatif yang baharu pertama kali diadakan MBJ Jheains-Pekerja itu langkah transformasi ‘kesatuan pekerja’ jabatan berkenaan membela nasib ahli-ahlinya.
“Kita bukan hanya mengutip data berkaitan isu atau masalah semata-mata, tetapi turut mendapatkan maklumat berkaitan cadangan ahliahli yang juga warga kerja Jheains.
“Kita berharap ahli kita bersabar dan memberi sepenuh kepercayaan kepada MBJ Jheains-Pekerja membantu mengetengahkan masalah mereka kepada pihak atasan.
“Namun walaupun MBJ Jheains ‘kumpulan pendesak’, kita juga perlu menghormati Jheains kerana badan ini wujud hasil keprihatinan organisasi kita bekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul berharap usul-usul yang akan dikemukakan pihak mereka nanti dapat diberikan perhatian dan tindakan sewajarnya oleh pihak yang berkaitan.
Lebih-lebih lagi, kesemua warga kerja Jheains menyokong usaha yang dijalankan kerana sekurang-kurangnya menyediakan platform untuk mereka bersuara dan mengadu.
Untuk rekod, MBJ JheainsPekerja sudahpun diwujudkan semenjak 2002 dan usaha menjalankan borang kaji selidik terbabit pula inisiatif yang diperkenalkan kepimpinan baharunya.