Utusan Borneo (Sabah)

Persediaan lakukan perbuatan pengganas, sebut semula kes pada 22 November

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 22 November sebagai tarikh sebutan semula kes tiga lelaki yang didakwa dengan niat hendak pergi negara Filipina menerusi Malaysia bagi maksud persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di negara itu.

Hakim Ummu Kalthom Abd Samad, menetapkan tarikh itu dalam sesi yang bersidang secara tertutup di Bilik Mesyuarat 2, Mahkamah Rendah Sandakan. Tarikh sebutan semula itu bagi menunggu laporan daripada Cyber Security.

Pihak pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwara­ya Mohd Faisal Mohd Noor yang mewakili Timbalan Pendakwara­ya Mohd Mustaffa P Kunyalam.

Berdasarka­n pertuduhan, Nor Azmi Zahyi, 48, dan Faisal Abu Bakar (warga Indonesia) ditahan pada jam 12.20 tengahari pada 15 Jun di hadapan sebuah butik di Jalan 3, Bandar Sandakan. Manakala seorang lagi warga Indonesia, Ali Misron ditahan di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sandakan pada 15 Jun.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan Akta 574, yang memperuntu­kkan hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan juga hendaklah dikenakan denda.

Dalam pada itu, Faisal juga dituduh memiliki tiga bilah pisau sepanjang 27.3 sentimeter semasa ditahan. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Sementara, Ali turut berdepan satu lagi tuduhan kerana memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) di dalam telefon bimbit.

Pertuduhan itu dibacakan mengikut Seksyen 130B (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan yang sama, sabit salah membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Dua orang tertuduh warga Indonesia diwakili oleh peguam yang dilantik Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu iaitu Farazwin Haxdy. Manakala Nor Azmi Zahyi tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia