Sirhajwan harum nama negara
Juarai Anugerah Kecemerlangan Guru
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Haji Jamli berkata, kecemerlangan Mohd Sirhajwan Idek, 29, bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada dunia malah akan menjadi sumber inspirasi kepada orang muda di negara ini.
Menurut beliau, jika seseorang itu berusaha gigih dalam bidang yang diminatinya, pasti impiannya itu akan menjadi kenyataan seperti yang telah ditunjukkan oleh Sirhajwan.
“Syabas dan tahniah kepada Sirhajwan yang telah mengharumkan nama Malaysia dan juga tidak lupa kepada kedua ibu bapanya Haji Idek Haji Asal dan Hajah Bintek Haji Abdul Rahman kerana merekalah yang berkomitmen menjaga, mengasuh dan mendidik anak-anak dalam semua perkara,”katanya.
Musbah yang juga Adun Tempasuk berkata demikian ketika bersama ibu bapa dan keluarga Sirhajwan menyambut ketibaan guru itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus tiba dari Paris pada Isnin.
Guru Kolej Vokasional Keningau itu telah mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris pada Sabtu.
Pendidik anak watan Kota Belud itu telah menewaskan 10 pesaing pada akhir, iaitu Dmitry Shaytan dari Russia di tempat kedua manakala, tempat ketiga dikongsi bersama Cindy Gilbert dari Amerika Syarikat (AS) dan David Gibson dari United Kingdom (UK).
Selain Sirhajwan yang juga wakil tunggal Asia dalam senarai 10 finalis, guru lain adalah dari AS, UK, Russia, Jerman, Kanada, Denmark dan Colombia. Masing-masing membentangkan kajian semalam dan kelmarin.
Anugerah berkenaan menilai 29 penyertaan terbaik dari seluruh dunia sebelum 15 diundang menghantar penyertaan penuh bagi memilih 10 terbaik.
Program bertaraf antarabangsa itu adalah anjuran Academic Conferences and Publishing International Limited (ACPI), organisasi berpangkalan di London yang mengendalikan perhimpunan penyelidik akademik antarabangsa, dan menggalakkan penyelidikan akademik cemerlang melalui penerbitan.
Menurut Sirhajwan, inovasi dihasilkannya adalah projek berasaskan pembelajaran untuk menggalakkan pelajar menceburi inovasi dan keusahawanan.
Kejayaanitumelayakkannya menerima sijil dan keahlian International Society for Professional Innovation Management (ISPIM) selama setahun, sekali gus dapat menyertai program organisasi itu di Melbourne, Australia dan Boston, AS dalam tempoh berkenaan.
Beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada ayah dan ibunya serta semua ahli keluarga yang memberi dorongan.
“Alhamdulillah, kejayaan ini hadir pada 1 Muharram 1439 Hijrah, tahun yang amat penting dalam sejarah umat Islam. Ia permulaan baik bagi saya untuk berhijrah melakukan lebih baik demi agama, negara dan bangsa saya Sama/Bajau),” katanya.
Ini adalah kejayaan keempat Sirhajwan di peringkat global sepanjang tahun ini dan tahun lalu.
Tiga lagi anugerah diraihnya adalah biasiswa Macmillan English anjuran Macmillan Education Teachers at the Heart di UK pada 2016, biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing 2017 dan antara 50 finalis Hadiah Guru Global 2017.
“Pendidik anak watan Kota Belud itu telah menewaskan 10 pesaing pada akhir, iaitu Dmitry Shaytan dari Russia di tempat kedua manakala, tempat ketiga dikongsi bersama Cindy Gilbert dari Amerika Syarikat (AS) dan David Gibson dari United Kingdom (UK).