Utusan Borneo (Sabah)

SPRM tahan setiausaha politik menteri

-

KEPALABATA­S: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan seorang setiausaha politik sebuah kementeria­n bagi membantu siasatan berhubung penyelewen­gan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembanguna­n Kemahiran (PTPK).

Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata SPRM telah menahan setiausaha berkenaan pada 12.30 tengah hari Rabu dan individu berkenaan akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatka­n perintah tahanan reman bagi membolehka­n badan itu menjalanka­n siasatan dengan lebih lanjut.

“Sebelum ini, kita telah menangkap empat orang berhubung perkara sama penyelewen­gan wang PTPK yang mana kesemua individu terbabit telah pun direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM. Hari ini (Rabu) SPRM telah membuat tangkapan terhadap seorang lagi yang merupakan setiausaha politik sebuah kementeria­n,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembara Jelajah Anti-Rasuah 2017’ (KEJAR ‘17) peringkat negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini, Rabu.

Dzulkifli berkata setiausaha terbabit merupakan individu kelima yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewen­gan wang peruntukan tersebut.

Menurut sumber SPRM, individu berkenaan yang berumur 61 tahun itu merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak.

“Individu itu ditahan oleh SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari ini (Rabu),” kata sumber itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia