Utusan Borneo (Sabah)

Anggota polis didakwa berhubung kehilangan senjata api semi-auto

-

KOTAKINABA­LU:Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan kehilangan senjata api semiauto didalam jagaannya.

Beddy Tubeng, 30, yang didakwa mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Hukuman yang diperuntuk­kan, sekiranya disabitkan bersalah penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM1,000 atau dengan keduaduany­a sekali.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan pada 14 Oktober tahun lalu jam 1 pagi, di parkir kenderaan di hadapan New World, Donggongon.

Terdahulu, Timbalan Pendakwara­ya Norbet Liew membantah tertuduh diberikan ikat jamin, namun menyerahka­n kepada budi bicara mahkamah.

Peguam Luke Ressa Balang menyatakan tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, kini masih bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kota Kinabalu sebagai koperal detektif.

Jessica menetapkan pada 17 Oktober sebagai pengurusan kes terhadap Beddy yang diberikan ikat jamin sebanyak RM3,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Dalam kes berasingan, seorang remaja lelaki warga asing dikenakan penjara tiga bulan atas kesalahan menceroboh masuk ke dalam tandas wanita, di sebuah pusat membeli-belah.

Rizal Omar yang juga disabitkan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan berkenaan pada 13 September di dalam tandas perempuan di Grand Merdeka Mall, Jalan Tuaran, di sini.

Untuk itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda.

Bagaimanap­un Jessica memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman itu berasingan dengan kesalahan memasuki negara ini tanpa permit yang sah, yang dikenakan penjara lima bulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia