Utusan Borneo (Sabah)

Kesedaran miliki tabung simpanan kecemasan masih di tahap rendah

-

KUALA LUMPUR: Kesedaran di kalangan rakyat Malaysia untuk mempunyai tabung simpanan kecemasan masih berada di tahap rendah dan perlu diberi perhatian serius, kata Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kemasyarak­atan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Siti Fatimah Abdul Rahman.

Beliau berkata tabung simpanan kecemasan penting bagi memastikan seseorang individu dapat bertahan sekiranya berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan.

“Sepatutnya kita perlu ada simpanan tiga bulan gaji untuk rasa selesa sekiranya dibuang kerja atau apa-apa kecemasan, sebab duit tersebut kita boleh gunakan untuk sementara nak kembali kepada keadaan biasa… misalnya kalau gaji kita RM3,000, sekurangku­rangnya kita perlu ada RM9,000 untuk tabungan kecemasan.

Kajian seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi menunjukka­n 79 peratus daripada responden tidak mempunyai tabung kecemasan untuk tiga bulan gaji ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Bengkel Pengurusan Kewangan Peribadi anjuran IKIM di sini pada Rabu.

Siti Fatimah berkata setiap individu dan ketua keluarga perlu mengambil langkah yang tepat bagi memastikan wang dapat diuruskan dengan betul.

“Bila dapat gaji, apa yang perlu dilakukan ialah asingkan dahulu sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah gaji untuk wang simpanan, kemudian pastikan kita membayar segala hutang dan bakinya barulah kita belanjakan,” katanya.

Beliau berkata kesedaran mengenai pengurusan kewangan perlu dimulakan sejak di bangku sekolah bagi memastikan generasi akan datang dapat menguruska­n wang dengan baik.

“Sekarang ini, kebanyakan pendedahan mengenai pengurusan wang hanya diberikan apabila seseorang memulakan pengajian di universiti… tak banyak yang didedahkan di sekolah, ada antara mereka (pelajar) tak masuk universiti pun, tetapi mereka juga perlukan pendedahan, sebab tu ia harus dimulakan sejak bangku sekolah,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia