Utusan Borneo (Sabah)

Anggota badan mangsa ditemui

-

BETONG: Tangan kanan, kaki kiri dan kepala mangsa serangan buaya ‘Bujang Rimbas’ di Sungai Kuala Besar, Kampung Hulu Tambak, Pusa dekat sini berjaya ditemui anggota penyelamat dan disahkan oleh keluarga mangsa pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, anggota badan mangsa Bentaya Ilah berusia 31 tahun itu ditemui kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian sekitar jam 1 hingga 3 petang.

Menurutnya, usaha mencari serpihan badan mangsa yang lain masih dijalankan dan turut dibantu oleh kira-kira 100 penduduk kampung sehingga lewat petang Rabu.

“Pada jam 1 petang, komander operasi melaporkan menemui anggota badan iaitu kaki kiri mangsa dan pada jam 2.23 petang, pasukan mencari dan penyelamat (SAR) menjumpai tangan kanan sebelum menemui kepala mangsa kira-kira jam 3.05 petang.

“Kesemua anggota badan mangsa dijumpai dalam jarak 20 kilometer dari tempat kejadian ke hulu sungai di Kampung Sabang.

“Operasi SAR yang terdiri dari bomba, agensi lain serta penduduk kampung dengan menaiki bot masing-masing serta satu bot tunda masih diteruskan bagi mencari beberapa anggota badan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Pasukan SAR turut menemui organ dalaman dan cebisan usus pada Isnin lalu iaitu sehari selepas mangsa dikatakan disambar oleh Bujang Rimbas ketika menjalan ikan bersama sepupunya di Sungai Rimbas lebih kurang 700 meter ke hulu Kampung Hulu Tambak, Pusa.

Mangsa dikatakan disambar buaya sebelum ditarik ke dasar sungai oleh reptilia itu.

Kejadian itu disaksikan dengan jelas oleh sepupu mangsa yang berada pada jarak empat kaki di antara mereka berdua.

Sejurus itu, sepupu mangsa kemudian menghubung­i keluarga dan memaklumka­n kepada penduduk kampung untuk mendapatka­n bantuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia