Utusan Borneo (Sabah)

Rafa, Liverpool bertemu semula di Newcastle malam ini

-

NEWCASTLE: Liverpool mahu menamatkan bulan September yang mengecewak­an dengan nada positif apabila mereka bertemu semula dengan bekas pengurus mereka Rafa Benitez di Newcastle pada malam ini.

Benitez masih popular di Anfield, selepas dia membimbing Liverpool untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara dengan kemenangan menakjubka­n ke atas AC Milan pada 2005, malam yang sering diingati di sebuah kelab yang memenangi hanya dua piala sahaja sejak itu.

Usaha Jurgen Klopp untuk membawa balik zaman kegemilang­an belum lagi membuahkan hasil, dan Liverpool masih kelihatan berbahaya dalam serangan tetapi lemah dalam pertahanan.

Ia ditunjukka­n dengan amat baik sekali sewaktu kemenangan 3-2 pada Sabtu lalu di Leicester, apabila pasukan Klopp dua kali mendahului dengan dua gol, tetapi hanya menang pada akhirnya apabila Simon Mignolet menyelamat­kan tendangan penalti Jamie Vardy.

Reaksi Klopp adalah untuk menurunkan keempat-empat penyerang utamanya dari mula lagi buat pertama kali pada Selasa lepas di Spartak Moscow dalam Liga Juara-Juara.

Namun pada kali ini, penyerang Liverpool gagal melaksanak­an tugas; Philippe Coutinho menjaringk­an gol, tetapi Sadio Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino gagal menemui sasaran, sama seperti Daniel Sturridge selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Keputusan seri itu bermakna Liverpool memenangi hanya satu sahaja daripada enam perlawanan mereka pada bulan September, dan dalam proses tersebut tersingkir dari Piala Liga.

Bagaimanap­un mereka masih memulakan hujung minggu ini di tempat kelima dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya lima mata sahaja di bawah tempat teratas.

“Peningkata­n besar dalam pasukan ini sekarang setakat ini ialah kami benar-benar banyak mencipta peluang,” kata Klopp.

“Kami mengadakan banyak perbincang­an sejak dua tahun lalu mengenai perlawanan kami menentang pasukan yang hanya bertahan dan kami tidak mencipta cukup banyak peluang.

“Itu sudah berubah. Kami sudah mengambil langkah besar dalam perkara ini. Setakat ini, ia belum menghasilk­an keputusan yang kami mahukan, tetapi dalam beberapa waktu, kita tidak dapat mencipta peluang yang lebih besar.”

Mignolet dijangka akan kembali menjaga gol untuk lawatan ke Newcastle, selepas dia tidak bermain dalam perlawanan di Moscow apabila Klopp memutuskan untuk menurunkan Loris Karius dalam Liga Juara-Juara pada musim ini.

Klopp mengalu-alukan pertarunga­n dengan Benitez, dan berkata: “Saya bertemu dengan Rafa sekali ketika dia menjadi pengurus Liverpool, kami menewaskan­nya 5-0 bersama Mainz. Saya harap dia ingat itu.”

Benitez menyokong Klopp untuk mengulangi kejayaanny­a memenangi piala di Liverpool ketika pengurus Newcastle itu bersiap sedia untuk menentang kelab yang membantu membina reputasiny­a.

Pengurus dari Sepanyol itu membimbing pasukan The Reds untuk mencapai kejayaan dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA semasa enam tahun yang gemilang sebagai pengurus di Anfield, dan mengekalka­n hubungan kuat dengan kelab dan kawasan tersebut, kerana keluargany­a masih tinggal di Merseyside.

Klopp belum lagi memenangi piala pertamanya selepas hampir dua tahun menggalas tugas sebagai pengurus, tetapi Benitez yakin lelaki Jerman itu berupaya untuk menambah kepada senarai penghormat­an kelab yang panjang.

“Ia adalah tempoh yang bagus di Liverpool dan kami berjaya selama enam tahun, dengan empat piala dan tiga perlawanan akhir,” kata Benitez.

“Jurgen adalah seseorang yang saya sangat kenali, jadi saya tidak mahu memberi sebarang tekanan tetapi dia memiliki alat dan potensi dan saya rasa mereka dapat memenangi piala.

“Bahagian yang susah ialah untuk mengekalka­n kejayaan dengan semua pasukan utama yang akan menentang kita, dan pada waktu ini, dengan cara setiap orang berbelanja, ia bermakna ia tidak mudah.

“Mereka ada segalanya untuk berjaya, tetapi mereka bersaing dengan beberapa pasukan yang sangat bagus.”

Benitez membimbing Newcastle buat kali kedua menentang Liverpool, selepas pasukan The Magpies bangkit selepas ketinggala­n dua gol untuk mencatatka­n keputusan seri 2-2 di Anfield sejurus selepas pengurus berusia 57 tahun itu mengambil alih tugas 18 bulan lalu. – AFP

BENITEZ

 ??  ??
 ??  ?? KLOPP
KLOPP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia