30 murid sertai Perkhemahan Dakwah Bil Hal edisi pertama
LABUAN:PendidikanIslam tidak diabaikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana Jabatan Pendidikan Labuan menyediakan program khas kepada murid-murid di sekolah berkenaan.
Program Perkhemahan Dakwah Bil Hal edisi pertama itu disertai 30 murid yang mewakili dua sekolah Cina di Wilayah Persekutuan Labuan.
Bertempat di Masjid AlMahmudiyah Kampung Lajau, perkhemahan ‘2 hari 1 malam’ itu melaksanakan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh guru-guru dan penceramah jemputan.
Antara program yang dilaksanakan ialah ice breaking, konsep bersuci, amali smart solat, qiamullail dan rintihan qalbu.
Selain itu, peserta juga telah dibawa melawat pusat pelupusan al-Quran dan bilik pengurusan jenazah yang dikendalikan oleh Imam Masjid Al-Mahmudiyyah Mohd Hafizi Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Guru Besar SJK(C) Chi Wen Julius Voo Jiunn Jye telah berusaha memastikan kelancaran program itu dengan menyelia persiapan dari peringkat permulaan hingga berlangsungnya program.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin.
Menurut Raisin, program itu merupakan satu daripada wadah pembentukan jati diri murid seiring dengan keperluan syariat yang menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan dan tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, insan, anak dan murid.
Hal itu bertepatan dengan hasrat untuk membentuk kemenjadian murid seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Unit Pendidikan Islam Ustaz Mohd Syahir Mohd Yusoff, Penyelia Unit Pendidikan Islam Ustazah Hajjah Vivi Erma, Penolong Kanan Kokurikulum SJK(C) Chi Wen Nurul Sameha Abdullah dan ibu bapa peserta perkhemahan.