Ekspedisi Bermotosikal Jelajah Borneo
Ahli HOG Kuala Lumpur adakan Ekspedisi Bermotosikal Jelajah Borneo
SERAMAI 120 ahli keluarga termasuk 70 ahli Kelab Harley Owners Group (HOG) antarabangsa telah mengadakan Ekspedisi Bermotosikal Jelajah Borneo bagi membantu mempromosi lokasi-lokasi menarik di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
Penyelaras program, Roslan Ismail berkata, program itu diadakan sempena Ulangtahun ke-115 Harley Davidson.
Sehubungan itu, mereka mengambil kesempatan itu untuk memainkan peranan membantu kerajaan mempromosi tempat-tempat menarik seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Program tahunan seumpama ini mampu memupuk perpaduan dan permuafakatan dalam kalangan ahli Kelab HOG, yang dianggotai para ahli peringkat antarabangsa termasuk dari Amerika, Indonesia, Australia, Sri Lanka, Singapura, India, Belanda dan beberapa negara lain yang turut bekerjasama dengan HOG,” katanya.
Eksedisi itu katanya, melibatkan dua destinasi utama selepas Wilayah Persekutuan Labuan iaitu ke Negeri Sabah bermula di Bandaraya Kota Kinabalu lalu ke Kota Belud, Kundasang, Ranau, Tambunan, Keningau dan berakhir di Menumbok sebelum ke Brunei Darussalam, Miri, Bintulu dan Bandaraya Kuching.
Menurut Roslan, kelab itu bercadang menyertai sambutan Ulangtahun HOG Antarabangsa 2018 di Amerika Syarikat.
Beliau berharap para peserta ekspedisi itu akan memanfaatkan lokasilokasi menarik yang dilawati untuk dipromosikan bukan sahaja kepada masyarakat di tempat masing-masing, malah masyarakat antarabangsa.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penaja terutama iaitu Petronas dan MAS Cargo, serta kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDR) yang banyak membantu melancarkan perjalanan konvoi bermotosikal dari mula hingga akhir.