Stor vaksin Syria diserang: WHO
LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menyatakan mereka telah menerima beberapa laporan mengenai serangan ke atas pusat perubatan di timur Syria yang memusnahkan sebuah stor mengandungi lebih 130,000 dos vaksin demam campak dan polio.
Sekiranya disahkan, menurut WHO, serangan itu menyebabkan ribuan kanakkanak berisiko mengalami penyakit berjangkit serius yang menular ini yang boleh merebak pantas di kawasan konflik.
“Kami mengecam tindakan ini.
“Vaksin bukannya satu sasaran perang yang sah,” wakil WHO di Syria, Elizabeth Hoff, menyatakan lewat kelmarin.
WHO menyatakan laporan yang diterimanya adalah mengenai satu serangan ke atas bilik simpanan sejuk vaksin di beberapa pusat kesihatan di Mayadin, berhampiran Deir al-Zor di timur Syria.
WHO tidak menyatakan sama ada laporan memaklumkan pihak yang mendalangi serangan.
Stor mempunyai 100,000 dos vaksin campak, 35,000 dos vaksin polio, di samping jarum suntikan dan peralatan lain.
“Sehingga bilik sejuk baharu dibina dan peralatan rangkaian sejuk diperlukan termasuk peti sejuk solar, kotak simpanan sejuk dan bekas pembawa vaksin, telah dihantar, ini akan menangguhkan imunisasi rutin kanak-kanak di kawasan berkenaan,” menurut Hoff.
Polio, penyakit menular yang boleh melumpuhkan mangsanya, dan demam campak yang boleh menyebabkan cirit-birit, buta dan boleh membunuh, mudah untuk merebak di zon perang kerana liputan vaksin yang rendah menyebabkan jurang dalam imuniti populasi dan meningkatkan jangkitan. — Reuters